ANGGOTA penguat  kuasa memeriksa mi yang dijual di kedai suspek.
ANGGOTA penguat kuasa memeriksa mi yang dijual di kedai suspek.
Agensi

Beijing: Seorang peniaga ditahan kerana menggunakan serbuk kaskas (biji pokok popi) di dalam mi sup yang dijualnya.

Tindakan itu bagi memastikan pelanggan akan berasa ketagihan.

Ia juga bertujuan meningkatkan hasil jualan apabila pelanggannya semakin bertambah.

Pada hujung bulan lalu, polis dari Balai Polis Lunan di bandar Lianyungang, wilayah Jiangsu menerima maklumat daripada orang ramai mengenai tindakan penjual makanan yang menggunakan bahan terlarang itu.

Laporan itu menyebut tindakan penjual itu bukan saja menyebabkan mi supnya bertambah sedap, malah pelanggan akan ketagihan.

Ia bermula apabila ada individu yang menonton video mengenai tindakan peniaga menggunakan bahan itu di dalam makanannya.

Ia menyebabkan dia mula curiga jika gerai mi berkenaan menggunakan bahan sama bagi menarik pelanggan.

Pemberi maklumat itu membawa sampel mi yang dibeli dari gerai berkenaan ke balai polis untuk diuji.

Hasilnya, polis mendapati mi itu mengandungi narkotina dan papaverina dalam jumlahnya yang tinggi dan bahan perisa lain.

Polis bekerjasama dengan Briged Siasatan Persekitaran Ubat dan Makanan menjalankan serbuan di gerai berkenaan.

Pasukan serbuan menemui satu periuk besar minyak cili mengandungi kaskas.

"Minyak cili dicampur bersama kaskas untuk menjadikan rasanya lebih enak.

"Mi yang dijual akan menjadi lebih enak namun ia menyebabkan orang ramai ketagihan dan boleh menjejaskan kesihatan," kata pegawai serbuan, Zhang Kaoshan kepada wartawan.

Ketika ditanya polis, pemilik gerai berkenaan yang dikenali sebagai Li mendakwa tidak mempunyai pilihan selain mencampurkan serbuk kaskas.

Ia bagi memulihkan semula perniagaannya yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Dia mendakwa, disebabkan pandemik, dia hilang ramai pelanggan dan beranggapan menjual mi yang menyebabkan ketagihan boleh membantu segera memulihkan perniagaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:00 AM