Orang ramai membawa barang keperluan untuk penduduk kampung yang dikenakan sekatan pergerakan di Pattani, Thailand. - FOTO AFP
Orang ramai membawa barang keperluan untuk penduduk kampung yang dikenakan sekatan pergerakan di Pattani, Thailand. - FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Thailand merekodkan satu lagi rekod tertinggi bagi kes baru Covid-19 iaitu sebanyak 15,335 dengan 129 kematian dalam tempoh 24 jam.

Sebanyak 14,694 kes adalah dalam masyarakat awam dan 641 dalam kalangan banduan, lapor Bangkok Post.

Bangkok masih kekal sebagai pusat wabak dengan 2,700 kes dilaporkan.

Data dikeluarkan Kementerian Kesihatan mendapati kes baru yang dicatatkan hari ini untuk 71 wilayah meningkat dari 5,228 pada Selasa kepada 7,405 pada Jumaat dan 8,606 hari ini.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) bagaimanapun tidak memberikan sebarang ulasan mengenai peningkatan jumlah kes baru itu.

Namun, kerajaan menggalakkan mereka yang dijangkiti untuk pulang ke wilayah masing-masing untuk mendapatkan rawatan bagi mengurangkan beban fasiliti kesihatan di pusat bandar.

Sejak pandemik ini mula dikesan di Thailand awal tahun lalu, sebanyak 497,302 kes jangkitan dicatatkan dengan 4,059 kematian.

Sebelum ini, rekod tertinggi kes harian dicatatkan pada Jumaat lalu dengan 14,575 kes.

Sementara itu, pegawai Bahagian Kawalan Penyakit (DDC), Chakkarat Pittayawonganont optimis bahawa dengan kempen vaksinasi yang sedang berlangsung dan sekatan di beberapa lokasi, situasi akan bertambah baik dalam tempoh empat hingga enam minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:53 PM