WANITA sering kali terlepas untuk menjalani hukuman disoal siasat.
WANITA sering kali terlepas untuk menjalani hukuman disoal siasat.
Agensi

Beijing: Seorang wanita di China cuba mengelak daripada menjalani hukuman penjara dengan menggunakan alasan hamil.

Asia One melaporkan dia disahkan hamil setiap kali tempoh penangguhan hukumannya hampir berakhir.

Ia menyebabkan wanita berkenaan sering kali terlepas untuk menjalani hukuman dan sudah lima kali melahirkan cahaya mata.

Menurut rekod, wanita tidak didedahkan namanya itu berasal dari wilayah Jiangsu dan dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun atas tuduhan mencuri pada 2011.

Dia bagaimanapun hanya dikenakan pengawasan di rumah selama tempoh berkenaan sementara menanti selesai melahirkan bayi dan menyusukan bayinya tamat.

Menurut undang-undang China tempoh itu adalah 12 bulan.

Bagaimanapun, wanita itu melarikan diri selepas tidak berjaya hamil.

"Tuan, saya akan pergi selama sebulan. Bakal kembali selepas hamil," tulisnya dalam surat kepada pihak berkuasa.

Pihak berkuasa bagaimanapun menemuinya semua dekat bandar Lianyungang, pada 7 April.

Wanita itu memberitahu pegawai penyiasat yang dia malu dengan perbuatannya yang lalu dan mengakui tidak seharusnya hamil serta melahirkan anak sehingga lima kali.

Mengikut undang-undang China, wanita boleh dikecualikan daripada menjalani hukuman penjara selama hamil dan menyusukan anak.

South China Morning Post melaporkan wanita itu kali pertama ditangkap mencuri dan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan dikenakan pengawasan kerana mencuri pada 2009.

Dia melakukan beberapa kesalahan sama ketika dalam tempoh pengawasan dan dikenakan hukuman penjara sembilan tahun dan enam bulan pada 2011.

Selepas ditangkap, dia bakal menjalani hukuman penjara lebih 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 6:31 AM