UJIAN swab (calitan). FOTO fail AFP
UJIAN swab (calitan). FOTO fail AFP
Agensi

Jakarta: Beberapa kakitangan syarikat farmasi di Indonesia ditahan selepas didakwa menjual semula kit ujian calitan Covid-19 terpakai.

Polis berkata, lebih 9,000 penumpang di lapangan terbang di Medan diuji menggunakan kit ujian calitan kitar semula berkenaan.

Katanya, mereka percaya penipuan itu berlaku di Lapangan Terbang Anatarabangsa Kualanamu, Medan sejak Disember lalu.

Detik melaporkan, kegiatan itu terbongkar minggu lalu selepas polis membuat penyamaran sebagai penumpang selepas menerima aduan orang ramai.

Selepas meraih keputusan positif, pasukan polis menyerbu kawasan ujian serta menemui alat ujian calitan terpakai dikitar semula.

Pihak berkuasa tempatan memfailkan laporan daripada 23 saksi dan menjangkakan keuntungan daripada kegiatan penipuan itu mencecah 1.8 bilion rupiah (RM517,782).

Keuntungan itu turut digunakan bagi membiayai kos pembinaan rumah mewah seorang suspek.

Penumpang pesawat diwajibkan menjalani ujian calitan sebelum berlepas.

Pihak lapangan terbang menawarkan khidmat berkenaan menggunakan kit ujian pantas dibekalkan syarikat Kimia Farma.

Minggu lalu, lima kakitangan syarikat Kimia Farma termasuk seorang pengurus di Medan ditahan kerana dipercayai terbabit kegiatan itu.

Kimia Farma yang berpangkalan di Jakarta, memecat semua kakitangan terbabit dan berjanji mengetatkan kawalan dalaman.

Indonesia antara negara Asia paling teruk terjejas Covid-19 merekodkan 1.69 juta kes jangkitan dengan 46,349 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 2:23 PM