Masjidilharam, Makkah. FOTO fail AFP
Masjidilharam, Makkah. FOTO fail AFP
Agensi

Riyadh: Umat Islam yang ingin menunaikan haji tahun ini diwajibkan mengambil dua dos suntikan vaksin Covid-19 terlebih dulu.

Menurut Gulf News yang memetik laporan media tempatan, peraturan terbaharu pihak berkuasa Arab Saudi itu sebahagian usaha kerajaan negara itu mengekang penularan Covid-19.

Peraturan itu diwajibkan ke atas jemaah haji berusia antara 18 hingga 60 tahun yang hanya akan menunaikan ibadah itu berikutan golongan lebih berusia dan berisiko tidak dibenarkan bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

Jemaah haji yang menetap di Arab Saudi perlu mengambil dua dos suntikan yang dipersetujui kerajaan itu, sebelum hari pertama Zulhijjah.

Bagi jemaah yang datang dari luar pula, diwajibkan mengambil dua dos dari salah satu vaksin yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan suntikan kedua perlu diambil seminggu sebelum berangkat ke Makkah.

Jemaah asing perlu menjalani ujian negatif ujian Covid-19 yang perlu dilakukan 72 jam sebelum tiba di Arab Saudi.

Semua jemaah perlu menjalani kuarantin selama 72 jam selain akan menjalani ujian kali kedua.

Pergerakan haji tahun ini juga sedikit berubah apabila jemaah dibahagikan kepada beberapa kumpulan tidak melebihi 100 orang.

Semua jemaah haji dan petugas berkaitan perlu memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal 1.5 meter di tempat penginapan dan ketika melakukan pergerakan.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan rasmi mengenai peraturan haji itu atau jumlah sebenar jemaah yang dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 10:13 AM