JURURAWAT menyuntik vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada pengarah CHRU, Marie-Noelle Gerain-Breuzard di CHRU Bretonneau, Perancis. FOTO AFP
JURURAWAT menyuntik vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada pengarah CHRU, Marie-Noelle Gerain-Breuzard di CHRU Bretonneau, Perancis. FOTO AFP
AFP

Frankfurt: Firma Jerman, BioNTech memberi amaran bahawa tiada data bagi menyokong 'keselamatan dan keberkesanan' vaksin Covid-19 sekiranya pemberian dos kedua dilengahkan melebihi tiga minggu.

Peringatan itu dikeluarkan berikutan kebimbangan mungkin ada negara lebih mengutamakan pemberian dos pertama dan seterusnya kekurangan bekalan bagi suntikan dos kedua dalam tempoh masa ditetapkan.

BioNTech, yang membangunkan vaksin dengan gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer, berkata data klinikal menunjukkan keberkesanan 95 peratus berdasarkan jadual dua dos yang berselang selama 21 hari.

"Keselamatan dan keberkesanan vaksin belum dinilai berdasarkan tempoh antara suntikan dos pertama serta kedua.

"Walaupun data menunjukkan sudah ada separa perlindungan seawal 12 hari selepas dos pertama, tiada data menunjukkan perlindungan selepas dos pertama bertahan selepas 21 hari," katanya.

Berikutan bekalan vaksin yang terhad, Denmark berkata, suntikan antara dos pertama dan dos kedua akan dijarakkan sehingga enam minggu, manakala Britain menetapkan penjarakan hingga 12 minggu sebelum memberi dos kedua.

Jerman juga berusaha untuk menjarakkan pemberian vaksin dos kedua sehingga 21 hari.

Penyokong tindakan itu berkata amalan berkenaan akan membolehkan lebih banyak penduduk mendapatkan dos pertama mereka.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 7:10 AM