IMBASAN CT menunjukkan dua jarum tertanam dalam otak seorang wanita di China. FOTO Agensi
IMBASAN CT menunjukkan dua jarum tertanam dalam otak seorang wanita di China. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Seorang wanita di China yang menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT) kerana kemalangan ringan terkejut mendapati dua jarum tertanam dalam otaknya.

Oddity Central melaporkan, wanita berusia 29 tahun dari Zhengzhou itu terbabit kemalangan kereta dan dinasihatkan menjalani CT untuk memastikan tiada kecederaan berlaku dalam kepalanya.

Apa yang peliknya, imbasan itu tidak menunjukkan tanda kecederaan berlaku daripada kemalangan itu, tetapi dia menerima kejutan lebih besar.

Menerusi hasil ujian CT itu, dua jarum sepanjang 5 sentimeter dengan ketebalan 4.9 milimeter tertanam dalam otaknya.

Doktor percaya jarum terbabit sengaja atau secara tidak sengaja dimasukkan ke dalam kepala wanita itu ketika dia masih kecil.

Ini kerana berdasarkan diameternya, jarum itu tidak mungkin dapat menembusi tengkorak yang sudah tumbuh sepenuhnya.

Tambahan lagi wanita itu tiada sebarang kecederaan kepala.

Wanita dikenali sebagai Zhu itu berkata, selama ini dia tidak pernah berdepan sebarang kesakitan atau pening kepala melampau.

Berdasarkan laman sesawang Sohu, wanita itu melaporkan penemuan pelik ujian imbasan itu kepada polis tempatan.

Wanita itu mencurigai keaslian jarum dalam kepalanya, namun buat masa ini dia tidak mahu mendedahkan apa-apa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 12:29 PM