BRIAN Steven Smith. FOTO Facebook
BRIAN Steven Smith. FOTO Facebook
Agensi

Anchorage: Seorang lelaki Afrika Selatan yang merakam kematian ganas seorang wanita di telefonnya, disabitkan bersalah melakukan pembunuhan tahap pertama di Alaska, baru-baru ini, lapor portal Independent.

Brian Steven Smith, 52, disabitkan bersalah atas kematian mangsa dalam video itu dan seorang lagi wanita asli Alaska.

Ketika prosiding keputusan itu di mahkamah di sini, pada Khamis lalu, Smith, tidak menunjukkan sebarang reaksi di mahkamah dan hanya memandang ke hadapan ketika hakim membaca keputusan juri.

Dia ditahan selepas seorang wanita mencuri telefon bimbitnya dari traknya dan menemukan rakaman mengerikan pada 2019 itu.

Pendakwa raya berkata, wanita itu yang juga seorang pekerja seks yang menjadi saksi utama semasa perbicaraan di Anchorage itu, kemudian menyalin rakaman itu ke kad memori dan akhirnya menyerahkannya kepada polis.

Smith kemudiannya mengaku membunuh seorang lagi wanita asli Alaska yang mayatnya ditemukan lebih awal, tetapi salah ketika dikenal pasti.

Smith didapati bersalah atas semua 14 pertuduhan, termasuk dua pertuduhan pembunuhan peringkat pertama dalam kematian Kathleen Henry pada 2019 dan Veronica Abouchuk, sama ada pada 2018 atau 2019.

Alaska tidak mempunyai hukuman mati, jadi Smith akan menjalani hukuman penjara seumur hayat.

Video grafik hanya ditunjukkan kepada juri semasa perbicaraan selama tiga minggu, tetapi audio yang boleh didengar di galeri awam mahkamah, yang mana ada yang mendengar Henry tercungap-cungap sebelum mati.

Pendakwa raya berkata, Smith memandu pacuan empat roda selama dua hari sebelum membuang mayat Henry di kawasan luar bandar di selatan Anchorage.

Video itu tidak pernah menunjukkan wajah lelaki itu tetapi loghat Britishnya kedengaran pada pita itu. Dia bercakap 'seolah-olah kepada penonton' dan berulang kali memukul dan mencekik mangsa di dalam bilik hotel Anchorage.

"Dalam filem saya, semua orang sentiasa mati. Apakah yang akan difikirkan oleh pengikut saya mengenai saya? Orang ramai perlu tahu bila mereka dibunuh bersiri," kata suara itu pada satu video.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 10:33 AM