FRANK Sagona, 45, melakukan 1,010 kali 'Chin-up' dalam masa sejam.  FOTO ihsan Guinness World Records
FRANK Sagona, 45, melakukan 1,010 kali 'Chin-up' dalam masa sejam. FOTO ihsan Guinness World Records
Agensi

Los Angeles: Seorang bapa berusia 45 tahun dari Colorado memecahkan Guinness World Record (GWR) dengan melakukan senaman 'chin-up' paling banyak dalam masa sejam.

Dalam tempoh itu, Frank Sagona melakukan 1,010 chin-up sekali gus memecahkan rekod dicatatkan pada 2011 oleh Stephen Hyland yang mencatatkan 993 kali, menurut United Press International (UPI).

"Ini adalah ujian muktamad kekuatan dan minda terhadap jirim," kata Sagona kepada Guinness World Records.

Dia berkata, percubaannya dibuat dalam keadaan lebih mencabar apabila dia mengalami ketegangan otot di belakangnya sehari sebelum percubaan rasminya.

"Saya berasa sesak nafas ketika pada catatan 44 minit. Namun, saya yakin dapat benar-benar melakukannya.

"Apa pun saya dapat memecahkan rekod dunia walaupun kecederaan itu memperlahankan rentak.

"Saya sebenarnya muntah sejurus selepas acara itu," katanya.

Sagona mendedikasikan pencapaian itu kepada rakannya, Mike Roumph, yang membantunya memulakan latihan untuk mencapai rekod itu sejak tiga tahun lalu.

Tetapi rakannya itu meninggal dunia sebelum dapat melihat kerja keras mereka membuahkan hasil.

"Rekod ini bukan sahaja untuk saya, tetapi sebagai ingatan untuk Mike," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 3:01 PM