DONALD Gorske. FOTO GWR
DONALD Gorske. FOTO GWR
Agensi

New York: Seorang lelaki meraikan kejayaan melakar rekod dunia apabila hampir setiap hari makan hidangan burger Big Mac McDonald's, dalam tempoh 50 tahun.

Donald Gorske, 68, dari Milwaukee, Wisconsin, mencatatkan rekod Rekod Dunia Guinness (GWR) yang dipecahkannya pada Selasa, selepas menikmati burger Big Mac pertamanya 50 tahun lalu, pada 17 Mei 1972.

Independent melaporkan, Gorske melakar rekod dalam GWR pada 1999 untuk makan burger Big Mac paling banyak seumur hidup dengan 15,490 burger Big Mac.

Dia kemudian memecahkan rekodnya itu dengan 32,340 burger Big Mac, pada Ogos tahun lalu.

Lelaki itu berkata, hanya terdapat lapan hari dalam 50 tahun terakhir ini yang mana dia tidak pernah menikmati satu atau dua burger dari rangkaian makanan segera itu.

"Saya hanya terlepas lapan hari dalam 50 tahun yang luar biasa. Seperti yang saya katakan, saya mengira setiap Big Mac yang saya makan sepanjang hidup saya," kata Gorske kepada Spectrum News Milwaukee.

Hampir setiap hari, Gorske makan dua burger Big Mac sehari, dengan penduduk asal Wisconsin memberitahu dia tidak jemu dengan makanan itu.

"Banyak kali orang berkata, 'anda kelihatan seperti sedang makan (burger) Big Mac untuk kali pertama' dan itulah yang saya rasa kadang-kadang. Mereka begitu baik kepada saya dan tidak ada apa-apa lagi yang saya suka makan," katanya.

Menurut Gorske, dia pernah diberitahu sepanjang hidupnya bahawa dia tidak akan mencapai matlamatnya memakan burger Big Mac selama 50 tahun.

Tetapi dia menjelaskan kepada Spectrum News Milwaukee bahawa dia membuktikan mereka sudah salah kerana meraguinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 6:40 AM