JOVENEL Moise. FOTO AFP
JOVENEL Moise. FOTO AFP
AFP

Port-Au-Prince: Presiden Haiti, Jovenel Moise dibunuh, manakala isterinya cedera serangan senjata di kediaman peribadi mereka, pagi semalam.

Ia menjadikan negara di wilayah Caribbean yang miskin itu berdepan krisis politik baharu.

Perdana Menteri Interim Claude Joseph memaklumkan beliau kini bertanggungjawab ke atas pentadbiran.

Joseph turut mendesak orang ramai untuk tetap tenang sambil menegaskan polis dan tentera akanmemastikan ketenteraman awam.

"Presiden dibunuh di rumahnya oleh orang asing yang berbahasa Inggeris dan Sepanyol dalam serangan kira-kira 1 pagi.

"Kematian ini tidak akan terlepas daripada hukuman" kata Joseph dalam kenyataannya.

Insiden pembunuhan itu mengejutkan dan mengundang kemarahan.

Akibatnya, lapangan terbang di Port-au-Prince ditutup, tetapi saksi memaklumkan bandar itu sunyi semalam tanpa pasukan keselamatan tambahan untuk melakukan rondaan.

Isteri Moise, Martine, yang akan dibawa ke Miami, sedang dirawat di sebuah hospital tempatan.

Duta Haiti untuk Washington, Bocchit Edmond memberitahu wartawan pembunuh itu adalah tentera upahan profesional yang menyamar sebagai ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat dan mungkin sudah melarikan diri keluar daripada negara.

"Kami mempunyai video dan percaya mereka adalah tentera upahan," tambahnya.

Moise mentadbir Haiti, negara termiskin di Amerika dengan dekri selepas pilihan raya dijadualkan pada tahun 2018 ditunda berikutan pertikaian, termasuk ketika pemerintahannya berakhir.

Selain kekacauan politik, penculikan untuk tebusan meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, yang menunjukkan pengaruh kumpulan bersenjata yang semakin meningkat di negara itu.

Haiti juga menghadapi kemiskinan kronik dan bencana alam berulang.

Presiden itu mendapat tentangan daripada banyak penduduk yang menganggap pelantikannya sebagai Presiden tidak sah.

Pembunuhan Moise berlaku beberapa hari selepas Presiden itu melantik Ariel Henry, seorang pakar bedah saraf yang belajar di Perancis, sebagai perdana menteri baru Haiti.

Henry, 71, menjadi sebahagian daripada individu bertanggungjawab menangani Covid-19 di Haiti dan sebelum ini menyandang jawatan dalam pemerintahan sebagai Menteri Dalam Negeri, dan Menteri Sosial dan Pekerja.

Henry dekat dengan pembangkang, tetapi pelantikannya tidak disambut oleh majoriti parti berkenaann yang terus menuntut presiden mundur.

Republik Dominika memerintahkan penutupan segera sempadannya dengan Haiti yang berjiran selepas pembunuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 10:18 AM