SYILING emas berkenaan. FOTO AFP
SYILING emas berkenaan. FOTO AFP
Agensi

New York: Duit syiling emas Amerika Syarikat (AS) 1933 yang tidak lagi dikeluarkan selepas Presiden AS Franklin D Roosevelt mengeluarkannya dari standard emas AS, dijual pada harga AS$19.5 juta (kira-kira RM80.2 juta).

Duit syiling itu dijual menerusi acara lelongan di pusat lelongan Sotheby's dan dikategorikan sebagai duit syiling emas terakhir dalam sistem kewangan.

Ia juga dianggap sebagai 'duit syiling yang paling diingini dan tidak mengecewakan' pemiliknya.

Duit syiling AS$20 (kira-kira RM82) itu direka oleh pengukir AS, Augustus Saint-Gaudens.

Prajualan syiling itu bermula pada harga antara AS$10 juta hingga AS$15 juta (kira-kira RM41.1 juta hingga RM61.7 juta).

Ia juga meleburkan rekod nilai jualan syiling perak Flowing Hair 1794 yang dijual dengan harga AS$10 juta (kira-kira RM41.1 juta) pada 2013.

Menurut AFP, syiling emas berkenaan memaparkan imej Lady Liberty pada satu bahagian, manakala helang pada satu lagi bahagian.

Syiling ini adalah duit syiling emas terakhir AS dalam edaran, tetapi tidak pernah digunakan secara sah.

Pada tahun berkenaan, Roosevelt mengeluarkan AS daripada piawaian emas dalam usaha untuk meningkatkan semula ekonomi daripada kemelesetan teruk.

Duit syiling berkenaan diarahkan untuk dimusnahkan, namun dua daripadanya diserahkan kepada Institusi Smithsonian.

Bagaimanapun, pada 1937, syiling itu berada di dalam pasaran.

Siasatan Perkhidmatan Rahsia pada 1944 mendapati ia dicuri daripada simpanan kerajaan AS dan disimpan secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 6:45 AM