FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memaklumkan perancangan untuk mengagihkan 80 juta dos vaksin Covid-19 ke seluruh dunia dengan 75 peratus daripadanya diberikan menerusi fasiliti Covax.

Rumah Putih dalam kenyataannya memaklumkan, vaksin yang disumbangkan AS menerusi Covax itu akan mengutamakan negara di Amerika Latin dan Caribbean, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Afrika.

"Kami berkongsi vaksin ini bukan untuk mendapat sokongan atau konsesi," kata Biden dalam kenyataan, semalam.

"Kami mahu menyelamatkan nyawa dan mengetuai usaha menamatkan pandemik ini, dengan menjadikan nilai kami sebagai contoh."

Terdahulu, Biden berikrar untuk mengeksport 80 juta dos vaksin Covid-19 ke seluruh dunia menjelang akhir bulan ini.

Komitmen itu susulan desakan daripada beberapa negara supaya AS menggunakan lebihan vaksin untuk membantu negara yang bergelut dengan penularan wabak itu, memandangkan pengagihan vaksin di AS sudah mencapai tahap memberangsangkan.

Penyelaras maklum balas Covid-19 Rumah Putih Jeff Zients berkata, proses untuk mengeksport 25 juta dos pertama vaksin kini sedang berjalan.

"Kami akan memastikan komitmen Presiden AS untuk menghantar 80 juta dos menjelang akhir Jun," katanya.

Covax diwujudkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermatlamat memastikan akses vaksin mencukupi kepada 30 peratus populasi di 92 wilayah termiskin yang menyertainya, termasuk 20 peratus di India, dengan kos dibiayai penderma.

Berdasarkan perancangan AS, daripada 25 juta dos pertama vaksin yang akan diagihkan, kira-kira tujuh juta diperuntukkan untuk Asia, terutama India, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam, Papua New Guinea dan Taiwan.

Kira-kira enam juta dos diperuntukkan kepada negara di Amerika Selatan dan Amerika Tengah serta Caribbean, termasuk Brazil, Argentina, Colombia, Costa Rica, Peru, Guatemala dan Haiti.

Sejumlah lima juta dos lagi khusus untuk negara Afrika dan akan diagihkan dengan kerjasama Kesatuan Afrika, kata Penasihat Keselamatan Nasional AS Jake Sullivan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 10:47 AM