Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Bekalan vaksin Covid-19 yang lambat sampai ke Malaysia disebabkan beberapa negara maju terlebih dahulu membolotnya menyebabkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga bergerak perlahan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata tindakan negara maju itu menyebabkan bekalan vaksin kepada kebanyakan negara seluruh dunia termasuk Malaysia terjejas, sekali gus menghadkan jumlah pemberian vaksin yang boleh diagihkan setiap hari.

Daripada 73.1 juta dos vaksin ditempah yang cukup untuk 120 peratus populasi negara, katanya, Malaysia hanya menerima kira-kira 8.42 juta dos daripada tiga portfolio vaksin setakat 18 Jun lalu, berikutan bekalannya yang terhad di seluruh dunia.

"Jika dibandingkan jumlah penerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin berbanding keseluruhan penduduk, Malaysia tidak jauh ketinggalan berbanding Jepun malah kompetitif berbanding negara besar di Asia Tenggara.

"Namun, kita dapat saksikan jurang yang besar jika dibandingkan dengan negara maju lain yang membolot vaksin seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Kesatuan Eropah (EU), yang menunjukkan ketidakadilan pengagihan vaksin di seluruh dunia.

"Ini bukan alasan, tapi jelas menunjukkan kapasiti pemberian vaksin bukan masalah kita, tapi jadual penghantaran disebabkan ketidakadilan pengagihan vaksin.

"Rakyat perlu faham bahawa kerajaan telah sedaya upaya cuba mendapatkan vaksin secepat mungkin, tetapi inilah realiti dalam pengagihan vaksin," katanya pada sidang media maya menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Sidang media itu berhubung Pelan Pemulihan Negara - vaksinasi kunci kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi, disertai bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras turut menunjukkan statistik kadar pemberian sekurang-kurangnya satu dos vaksin berbanding keseluruhan penduduk adalah 12.2 peratus setakat 18 Januari lalu, hanya ketinggalan kira-kira empat peratus berbanding Jepun, selain mendahului negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Bagaimanapun, ketidakadilan pengagihan vaksin dunia menyaksikan Kanada berada pada kadar 66.2 peratus, disusuli UK (62.5 peratus), AS (52.7 peratus) dan EU (46.6 peratus).

Khairy berkata, sebanyak 828,000 daripada 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca menerusi fasiliti COVAX sudah diterima Malaysia setakat ini, selain empat juta daripada 44.8 juta dos vaksin Pfizer dan 3.6 juta daripada 12 juta dos vaksin Sinovac.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia kini dapat meningkatkan kapasiti pemberian vaksin harian apabila bakal menerima lonjakan bekalan vaksin bermula bulan depan.

"Kita berjaya mengawalkan jadual penghantaran, apabila semua 12 juta dos vaksin Sinovac akan selesai diterima pada akhir bulan depan, manakala 25 juta dos vaksin Pfizer akan diterima pada suku ketiga tahun ini, iaitu antara Julai hingga September depan.

"Ini meletakkan negara dalam keadaan yang baik, sekali gus membolehkan Malaysia meningkatkan kapasiti pemberian vaksin harian pada suku ketiga tahun ini dan memastikan sasaran 80 peratus populasi divaksin, tercapai sebelum akhir tahun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 8:40 PM