Presiden Peru, Dina Boluarte (berpakaian putih) bersama sebahagian anggota Kabinet baharu. - FOTO AP
Presiden Peru, Dina Boluarte (berpakaian putih) bersama sebahagian anggota Kabinet baharu. - FOTO AP
BERNAMA

Lima: Presiden baharu Peru Dina Boluarte meminta barisan Kabinetnya melaksanakan tugas mereka "tanpa mengamalkan rasuah" setelah mengangkat sumpah pada Sabtu.

Boluarte melantik sembilan lelaki dan lapan wanita bagi menjawat 17 jawatan menteri, diketuai Pedro Angulo Arana sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, pelantikan menteri bagi Kementerian Buruh dan Promosi Pekerjaan, Pengangkutan dan Komunikasi masih belum diputuskan, lapor Xinhua.

Angulo merupakan pendakwa raya antirasuah serta pernah berkhidmat sebagai dekan Persatuan Peguam Lima.

Beliau bertanding jawatan presiden pada 2020.

Boluarte mengambil alih jawatan presiden Peru pada Rabu selepas Pedro Castillo disingkirkan menerusi usul pemecatan oleh Kongres atas alasan "ketidaklayakan moral".

Boluarte turut menyeru penggubal undang-undang melakukan "gencatan senjata politik" agar beliau dapat menumpukan usaha memajukan kerajaannya dan berjanji memerangi rasuah.

Meskipun Boluarte memegang jawatan itu untuk melengkapkan mandat Castillo sehingga Julai 2026, beliau berkata pilihan raya akan diadakan lebih awal jika keadaan memaksa.

Kenyataan Boluarte itu dibuat di tengah-tengah protes yang tercetus di Lebuhraya Pan-American di wilayah Arequipa, Ica dan Tacna di Peru dan orang ramai bertindak mengadakan sekatan di jalan dengan menggunakan batu, kayu dan tayar, membantah penahanan Castillo dan menuntut supaya bekas presiden itu dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 4:04 PM