GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
AFP

Conakry: Cimpanzi tertua Guinea yang juga salah satu spesies terakhir hidupan liar terancam yang terkenal di dunia mati pada usia 71 tahun.

Fana, cimpanzi betina yang dilahirkan sekitar 1951 adalah sebahagian daripada kumpulan haiwan itu yang mendapat kemasyhuran global kerana kebolehan luar biasa menggunakan alatan perkakasan.

Kementerian Alam Sekitar yang mengesahkan kematian haiwan itu berkata, Fana menunjukkan tanda-tanda keletihan sejak beberapa bulan lalu.

"Anggota badan sebelah atas kirinya lumpuh sejak dia jatuh teruk hampir 25 tahun lalu dan ia sudah lama berhenti memanjat pokok.

"Haiwan itu tinggal sendirian dan kurang aktif. Bangkainya ditemukan pada 19 September dan dikebumikan pada keesokannya dengan kehadiran penduduk setempat," kata kementerian itu dalam Facebook.

Komuniti kecil beruk itu tinggal dalam hutan di sekitar perkampungan Bossou, di kawasan tenggara negara itu.

Saintis menjelajah ke lokasi terpencil selama berdekad-dekad untuk mengkaji kebolehan luar biasa cimpanzi menggunakan tukul batu dan andas untuk membuka kacang.

Ini satu tingkah laku paling canggih pernah diperhatikan kepada haiwan itu.

Namun, kematian Fana menjadikan jumlah cimpanzi Bossou semakin berkurangan kepada hanya enam atau tujuh sahaja.

Separuh daripadanya adalah betina, dua lagi tidak dapat membiak.

Sehingga tahun 2003, kumpulan cimpanzi Bossou agak stabil dengan 21 ekor, namun kehilangan tujuh ekor akibat selesema pada tahun itu.

Haiwan itu juga terjejas oleh aktiviti manusia di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 10:58 AM