KANAK-kanak menjalani membuat ujian saringan secara pandu lalu. FOTO AFP
KANAK-kanak menjalani membuat ujian saringan secara pandu lalu. FOTO AFP
Agensi

Washington: Lebih sejuta kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) dijangkiti Covid-19 sejak pandemik itu mula melanda dunia, Disember tahun lalu.

Akademi Pediatrik Amerika dan Persatuan Hospital Kanak-Kanak mendedahkan sejumlah 1,039,464 kanak-kanak di AS diuji positif Covid-19, setakat 12 November lalu.

"Dalam tempoh seminggu terakhir pada 12 November lalu terdapat 111,946 lagi kes baharu membabitkan kanak-kanak.

"Angka ini lebih tinggi daripada minggu sebelum itu," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama.

Menurut mereka, terdapat lonjakan peningkatan virus itu secara meluas dalam komuniti di seluruh AS.

"Sebagai pakar pediatrik yang berpengalaman dalam perubatan lebih tiga dekad, saya mendapati angka ini mengejutkan dan sungguh tragis.

"Belum pernah lagi kami melihat virus merebak dalam komuniti dengan cara ini sejak sebelum kita menemui vaksin campak dan polio lagi," kata Presiden Akademi Pediatrik Amerika, Dr Sally Goza.

Goza memohon strategi baharu dalam menangani dan mengawal pandemik di seluruh negara.

Strategi itu katanya, termasuk melaksanakan langkah kesihatan awam yang terbukti berkesan menerusi pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

"Pandemik ini memberikan kesan besar kepada kanak-kanak, keluarga, komuniti dan petugas barisan hadapan kita.

"Jadi, kita perlu bekerjasama untuk mengembalikan keyakinan terhadap kesihatan awam.

"Agensi saintifik mewujudkan bantuan fizikal kepada keluarga, manakala pakar pediatrik juga membantu sistem sokongan kanak-kanak dan keluarga seperti sekolah kami, penjagaan kesihatan mental dan bantuan nutrisi," katanya seperti dipetik portal CNN.

Dalam pada itu, berdasarkan data daripada John Hopkins University, jumlah kes Covid-19 di AS kini melebihi 11.2 juta dengan lebih 247,000 meragut kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 6:30 AM