TRUMP ketika berucap di hadapan penyokongnya di Washington Sabtu lalu. FOTO AFP
TRUMP ketika berucap di hadapan penyokongnya di Washington Sabtu lalu. FOTO AFP
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa dirinya kini imun daripada jangkitan Covid-19 dan sudah bersedia kembali berkempen menentang Joe Biden yang memasuki minggu terakhir kritikal pilihan raya Presiden negara itu.

Doktor kepada Presiden AS itu membenarkan Trump kembali berkempen selepas didakwa tidak lagi menjadi risiko penularan Covid-19 walaupun belum diisytiharkan bebas virus itu selain dakwaan imun itu tidak lagi terbukti.

"Saya seperti imun (Covid-19), saya tidak tahu, mungkin untuk jangka masa yang lama atau sebaliknya, mungkin untuk seumur hidup, tiada siapa yang tahu, tetapi saya imun (kebal)," katanya ketika kepada Fox News.

"Anda memiliki seorang Presiden yang kebal ...kini anda ada seorang Presiden yang tidak perlu bersembunyi seperti dilakukan pesaingnya," kata Trump menyindir pencabarnya, Biden yang mengambil pendekatan jauh lebih berhati-hati ketika berkempen.

Begitu pun, belum jelas sejauh mana seseorang yang pernah dijangkiti Covid-19 mempunyai antibodi menentang jangkitan baharu virus itu.

Trump, 74, dirawat dengan antibodi eksperimen yang dibuat Regeneron untuk memberikannya imuniti selama beberapa bulan daripada penularan wabak itu, bukannya rawatan sebagai vaksin.

"Dalam beberapa kes, vaksin dapat bertahan selama beberapa dekad. (Tetapi) jika anda mendapatkannya dalam bentuk imuniti semula jadi, itu belum diketahui," kata Ketua Pegawai Eksekutif Regeneron Leonard Schleifer kepada CBS, semalam.

"Sekiranya anda mendapatkannya (rawatan antibodi), jika anda mahu, ia mungkin akan bertahan selama berbulan-bulan," katanya.

Sabtu lalu, Trump membuat penampilan sulung kepada umum sejak dibenarkan keluar hospital tiga hari lalu dan dijangka mengunjungi Pennsylvania dan Iowa bagi meneruskan kempennya.

Dalam temubual menerusi panggilan telefon bersama Fox News, pemimpin Republikan itu mendakwa Biden kemungkinan tidak sihat.

"Jika anda lihat Joe (Biden), semalam beliau batuk dengan teruk sekali dan memakai topeng pelitup kerana beliau batuk.

"Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana (dakwaan Biden tidak sihat) tidak mendapat banyak liputan," katanya.

Pasukan kempen Biden daripada Demokrat kerap menyiarkan mengenai keputusan ujian saringan calonnya selepas Trump disahkan positif Covid-19 sekali gus menyebabkannya ketinggalan dalam kempen pilihan raya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 12:54 PM