PJ memandu kereta untuk membawa neneknya menerima rawatan di Indianapolis dekat Los Angeles. Foto FB Brewer-Layer
PJ memandu kereta untuk membawa neneknya menerima rawatan di Indianapolis dekat Los Angeles. Foto FB Brewer-Layer
Agensi

Los Angeles: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun bertindak berani apabila memandu kereta untuk membawa neneknya yang tidak sihat untuk mendapatkan rawatan di hospital di Indianapolis, di sini.

Hindustan Times melaporkan, kisah itu dikongsikan sendiri wanita terbabit, Brewer-Layer menerusi Facebook (Fb) miliknya, baru-baru ini.

Difahamkan, video itu dirakam sendiri oleh Brewer ketika kejadian berlaku.

"Pada petang hari kejadian, saya melakukan senaman ringan tidak jauh dari rumah namun tiba-tiba badan berasa lemah hingga tidak dapat berjalan disebabkan mengalami tekanan gula yang rendah.

"Cucu saya, PJ menyedari keadaan saya kerana kebetulan sedang menaiki kereta mainan pacuan empat roda tidak jauh daripada situ.

"Tanpa berlengah, dia berpatah balik ke rumah, mengambil kunci dan menghidupkan enjin kereta," katanya.

Menerusi hantaran sama, Brewer memaklumkan dia sendiri terkejut selepas melihat tindakan berani cucunya itu.

"Dengan tiba-tiba, saya lihat kereta Mercedez Benz datang dan rupanya, PJ yang memandunya. Mana tidaknya, dia baru berusia 11 tahun," katanya.

Perkongsian Brewer tular di laman sosial dan rata-rata warganet memuji keberanian budak lelaki berkenaan.

"Mujurlah PJ berada di situ untuk membantu kamu," kata seorang daripada warganet.

Seorang lagi warganet berharap Brewer sembuh dan mencadangkan wanita itu memberi ganjaran kepada cucunya sebagai balasan di atas pertolongan diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 3:39 PM