ANJING Shih Tzus antara bakal penumpang jet peribadi. FOTO Agensi
ANJING Shih Tzus antara bakal penumpang jet peribadi. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Enam haiwan peliharaan yang terkandas, di sini susulan pandemik Covid-19 akan dipertemukan semula dengan pemilik masing-masing di Mumbai menerusi penerbangan jet peribadi bernilai lebih RM50,000.

Memetik laporan Hindustan Times, penerbangan itu dikelola Deepika Singh, 25, seorang penyelidik keselamatan siber di Mumbai yang tampil dengan idea berkenaan ketika mengurus penerbangan pulang ahli keluarganya dari sini.

Katanya, ketika itu, ada antara saudaranya enggan pulang bersama haiwan peliharaan, yang memaksa dia mengurus satu penerbangan khas buat haiwan itu sahaja.

Singh kemudian menghubungi syarikat penerbangan dan mengatur perjalanan terbabit, dijadualkan pada pertengahan Jun.

"Kos bagi setiap tempat duduk adalah Rs 1.6 lakh (RM9,027.51) dan jika kami tidak mencukupkan enam 'penumpang', maka kosnya akan lebih tinggi," katanya dilapor dalam Mumbai Mirror.

Difahamkan, ketika laporan diterbitkan pada Sabtu, penerbangan itu sudah mempunyai empat 'penumpang' iaitu dua anjing Shih Tzus, seekor anjing Golden Retriever dan burung kuang.

Semua haiwan peliharaan itu akan terbang bersama pengendali dan diwajibkan menjalani ujian saringan sebagai langkah keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 12:40 PM