ORANG awam memakai pelitup muka di kawasan beli-belah di Orchard Road, SIngapura. FOTO AFP
ORANG awam memakai pelitup muka di kawasan beli-belah di Orchard Road, SIngapura. FOTO AFP
BERNAMA

Singapura: Singapura yang mengumumkan 788 kes baharu Covid-19 pada Rabu melaporkan dua lagi kematian, menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu sebanyak 20.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam kenyataan pada Rabu berkata, kematian ke-19 membabitkan seorang wanita warga Singapura berumur 97 tahun yang meninggal dunia pada 5 Mei di Pusat Penyakit Berjangkit.

Dilabelkan sebagai kes 1,414, pesakit itu disahkan dijangkiti Covid-19 pada 7 April dan mempunyai sejarah penyakit hipertensi.

Sementara itu, kematian ke-20 membabitkan kes 1,528 iaitu seorang lelaki warga Singapura berumur 73 tahun yang meninggal dunia di Hospital Umum Singapura pada 6 Mei.

Pesakit itu disahkan dijangkiti Covid-19 pada 7 April dan mempunyai sejarah hipertensi, 'hyperlipidaemia' dan melitus diabetes.

Singapura melaporkan dua kematian pertama akibat Covid-19 pada 21 Mac.

Ketika ini, 1,634 individu pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan discaj daripada hospital atau fasiliti isolasi komuniti.

Sebanyak 1,462 kes yang disahkan positif Covid-19 sedang dirawat di hospital dan kebanyakannya dalam keadaan stabil serta semakin pulih manakala 23 dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 17,082 kes dengan gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih positif Covid-19 masih ditempatkan di fasiliti komuniti.

Daripada 788 kes yang dilaporkan semalam, tiada kes import direkodkan.

Ia merangkumi 13 kes di fasiliti komuniti, pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama (16) dan pemegang permit kerja yang tinggal di asrama (759).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 10:05 AM