ANTARA asrama pekerja di Singapura yang menjadi kluster Covid-19. FOTO AFP
ANTARA asrama pekerja di Singapura yang menjadi kluster Covid-19. FOTO AFP
BERNAMA

SINGAPURA: Kira-kira 96 peratus daripada kes baharu jangkitan Covid-19 di Singapura, semalam, membabitkan pemegang permit kerja yang tinggal di lebih 25 asrama kluster di sini.

Peningkatan terbesar kes harian semalam yang menjangkau sehingga 1,426 kes positif, menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini kini berjumlah 8,041.

Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan berkata, peningkatan ketara itu berpunca daripada penghuni asrama, disebabkan ujian yang ditingkatkan di kawasan berkenaan.

“Sebilangan besar kes ini membabitkan penyakit ‘ringan’ dan dipantau di fasiliti isolasi komuniti atau wad umum hospital. Tidak ada antara mereka yang ditempatkan di unit rawatan rapi,” katanya menerusi kenyataan, lewat malam tadi.

Setakat Isnin, tiada kes import dilaporkan, hanya 25 kes dalam komuniti dan 32 kes membabitkan pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama.

Setakat ini, Singapura mewartakan 18 daripada lebih 25 asrama berkenaan sebagai kawasan isolasi, dengan asrama yang paling terkesan menempatkan penghuni dari Bangladesh, India, China dan Myanmar.

Kluster terbesr di Singapura ialah S11 Dormitory @ Punggol, Seletar North Link, dengan kes yang disahkan berjumlah 1,977.

Dengan angka terbaharu, Singapura yang mengesahkan kes pertama jangkitan Covid-19 di negara pulau itu pada 23 Januari lalu, kini merekodkan jumlah tertinggi di Asia Tenggara.

Sehingga kini, Singapura mengklasifikasikan 6,075 kes sebagai membabitkan penghuni asrama, 339 membabitkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama, 1,031 kes komuniti, dan 569 kes import.

Sehingga 12 tengah hari semalam, 801 sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu, dan dibenarkan keluar daripada wad hospital atau fasiliti isolasi komuniti, 23 masih dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, dan 11 sudah meninggal dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 10:37 AM