PENDUDUK Palestin membawa sepanduk di Beirut, Lubnan, membantah persidangan cadangan pelan damai Asia Barat ditaja Amerika Syarikat di Manama, Selasa lalu. -Foto AFP
PENDUDUK Palestin membawa sepanduk di Beirut, Lubnan, membantah persidangan cadangan pelan damai Asia Barat ditaja Amerika Syarikat di Manama, Selasa lalu. -Foto AFP
Reuters

BAGHDAD: Bahrain memanggil pulang dutanya di Iraq selepas penunjuk perasaan yang berang kerana Manama itu menjadi tuan rumah pembentangan cadangan pelan damai Israel-Palestin oleh Amerika Syarikat, memasuki perkarangan kedutaan dan menurunkan bendera negara itu, semalam.

Reuters melaporkan, kira-kira 200 penunjuk perasaan membakar bendera Israel sambil mengibarkan bendera Palestin dan Iraq di depan Kedutaan Baharain.

Polis melepaskan tembakan peluru hidup ke udara bagi menyuraikan penunjuk perasaan namun tiada yang cedera.

Seorang penunjuk perasaan yang mendakwa anggota satu kumpulan Islam berkata, tindakan menurunkan bendera Baharain itu bertujuan memberi ‘pesanan tegas’ kepada pihak yang menyertai persidangan di Manama.

“Kami menentang hubungan baik dengan penjajah Zionis dan tidak akan menghentikan sokongan kepada penduduk Palestin,” katanya yang memperkenalkan dirinya sebagai Abu Murtadha al-Moussawi.

Sementara itu, Kementerian Luar Baharain dalam kenyataan berkata: “Kementerian Hal Ehwal Luar Diraja Baharain mengutuk serangan terhadap Kedutaan Baharain di Republik Iraq oleh penunjuk perasaan yang membawa kepada sabotaj terhadap bangunan kedutaan.”

Persidangan dua hari di Manama berakhir kelmarin, bertujuan menarik sokongan negara Arab dan pelabur untuk mengumpul dana AS$50 bilion (RM206.85 bilion) bagi pembangunan ekonomi Palestin namun persidangan itu tidak menyentuh mengenai pengunduran Israel dari wilayah dijajah, taraf Baitulmaqdis Timur atau penubuhan negara Palestin yang merdeka.

Walaupun dihadiri beberapa negara Arab, termasuk Arab Saudi, Mesir dan Jordan persidangan itu diboikot Pihak Berkuasa Palestin dan Lubnan.

Israel turut dilapor tidak menghantar wakil ke persidangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 8:31 AM