HELIKOPTER Eurocopter EC155 milik jutawan Russia, Farkhad Akhmedov. FOTO Agensi
HELIKOPTER Eurocopter EC155 milik jutawan Russia, Farkhad Akhmedov. FOTO Agensi
Reuters

LONDON: Bekas isteri jutawan Russia, Farkhad Akhmedov mendakwa berjaya memperoleh sebahagian kecil daripada pampasan perceraiannya, selepas menjual sebuah helikopter milik bekas suaminya.

Menurut peguamnya, helikopter Eurocopter EC155 yang pernah digunakan untuk membawa penumpang ke kapal M.V Luna milik Akhmedov, berjaya dijual pada harga kira-kira lima juta euro (RM23.75 juta).

Pada 2016, Mahkamah Tinggi London mengarahkan hartawan minyak dan gas, Akhmedov membayar kira-kira 40 peratus daripada nilai kekayaannya atau sebanyak 453 juta pound (RM2.39 bilion) kepada Tatiana Akhmedova, sebagai pampasan perceraian.

Dalam penghakimannya, hakim mengarahkan Akhmedov menyerahkan koleksi seni bernilai lebih 90 juta pound (RM475.5 juta), harta tanah di Britain bernilai 2.5 juta pound (RM13.2 juta), kereta Aston Martin bernilai 350,000 pound (RM1.85 juta) dan wang tunai sebanyak 350 juta pound (RM1.85 bilion).

Namun, Akhmedov gagal berbuat demikian dan mendakwa prosiding itu sebagai salah serta tidak tepat, sekali gus mengakibatkan mahkamah mengeluarkan perintah pembekuan aset di seluruh dunia.

Berikutan itu, Akhmedova mengupah sepasukan peguam dan pakar pengesan aset untuk membongkar rangkaian syarikat luar pesisir milik bekas suaminya, dalam usaha menuntut aset di seluruh dunia, termasuk kapal M.V Luna.

Kapal M.V Luna dibina khas untuk jutawan Russia, Roman Abramovich sebelum Akhmedov membelinya pada 2014.

Ia mempunyai sembilan dek, dua helipad, sebuah kolam renang dan mini kapal selam, selain mampu memuatkan 50 anak kapal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 12:16 PM