PENYELAMAT menyimpan sisa tulang dalam beg selepas menemuinya di dalam rumah yang musnah dalam kebakaran Camp Fire di Paradise. - AFP
PENYELAMAT menyimpan sisa tulang dalam beg selepas menemuinya di dalam rumah yang musnah dalam kebakaran Camp Fire di Paradise. - AFP
Agensi

California: Seramai 1,000 orang masih dilaporkan hilang dalam kebakaran hutan di California, dengan jumlah kematian meningkat kepada 71 orang, semalam, dalam bencana seumpamanya yang terburuk dalam sejarah negeri itu.

Pasukan penyelamat menggunakan anjing pengesan meneruskan usaha mencari mangsa di sebuah pekan di utara California yang musnah sepenuhnya, kelmarin, dalam pada pihak berkuasa mencari petunjuk berhubung nasib mereka yang masih hilang.

Jumlah orang yang hilang melonjak daripada 631 orang pada lewat Khamis kepada lebih 1,011, kelmarin, lapor Daily Mail.

Bagaimanapun, Syerif Daerah Butte, Kory Honea berkata, senarai orang hilang itu tidak sempurna dan mungkin berubah kerana masih perlu disemak semula. Dia tidak menolak kemungkinan nama mangsa diulang senarai, atau silap ejaan.

Katanya, ada juga mangsa mungkin melarikan diri daripada api tanpa menyedari mereka tersenarai sebagai hilang.

Susulan itu, katanya, dia dalam proses mengumumkan senarai nama orang yang hilang supaya mereka yang melihat diri mereka disenaraikan dapat menghubungi pihak berkuasa.

“Segalanya huru-hara, kami tidak pernah mengalami keadaan sepertinya sebelum ini. Kini kami mahu memastikan semua orang dapat dikesan,” katanya.

Anggota keluarga mangsa disenaraikan hilang juga sudah menyerahkan sampel DNA untuk memudahkan pengenalpastian mayat.

Sisa mayat sekurang-kurangnya 71 orang ditemui setakat ini di dalam dan sekitar Paradise, pekan cantik dengan mempunyai hampir 27,000 penduduk yang dimusnahkan kebakaran digelar Camp Fire pada lewat 8 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 6:03 AM