KANAK-KANAK menerima derma RM174,000 selepas gambarnya tular. FOTO/shivsunny
KANAK-KANAK menerima derma RM174,000 selepas gambarnya tular. FOTO/shivsunny
Agensi

New Delhi: Seorang kanak-kanak menerima wang derma lebih 32,000 pound (RM174,000) yang berjaya dikutip dalam hanya sehari oleh orang ramai yang bersimpati melihat gambarnya menangis di sebelah mayat bapanya selepas menjadi tular di media sosial.

Dalam gambar itu, kanak-kanak berusia 11 tahun terbabit dilihat mengesat air mata sementara sebelah tangan lagi memegang kepala bapanya yang maut terjatuh ke dalam pembentung, lapor The Mirror.

Kanak-kanak itu juga mempunyai dua adik berusia tiga dan tujuh tahun.

Bapanya, Anil, 27, pekerja pembentungan yang mengalami kemalangan selepas tali yang digunakan untuk turun ke dalam loji tiba-tiba terputus, lapor BBC.

Gambar itu dikatakan dimuat naik di Twitter oleh wartawan The Hindustan Times, Shiv Sunny bagi membantu keluarga terbabit sebelum ia dikongsi lebih lebih 7,000 kali.

Dalam keterangan gambarnya dia menulis: “Kanak-kanak lelaki itu pergi ke mayat bapanya di tempat pembakaran mayat, mengalihkan kain dari muka, memegang pipi dengan kedua tangan dan berkata, ‘papa’ sebelum nangis teresak-esak.

Yayasan Uday, organisasi bukan kerajaan menggunakan platform pengumpul dana Ketto untuk mendapat derma.

Menurut yayasan itu, wang diterima akan digunakan untuk membantu menyara keluarga itu, selain pendidikan tiga beradik terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 9:40 PM