AUNG San Suu Kyi memberi ucapan di Naypyitaw pada 19 September 2017. FOTO Reuters
AUNG San Suu Kyi memberi ucapan di Naypyitaw pada 19 September 2017. FOTO Reuters
BBC

PENGHORMATAN yang diberi oleh Majlis Bandaraya Oxford kepada Aung San Suu Ky ditarik balik kerana kebisuannya terhadap krisis Rohingya.

Pemimpin de fakto Myanmar itu diberi penghormatan ‘Freedom of Oxford’ pada 1997 sempena perjuangannya demi demokrasi.

Namun satu usul dibentangkan kepada Majlis Bandaraya Oxford menyatakan penghormatan itu “tidak lagi sesuai” dipegang Suu Kyi dan perlu ditarik balik.

Suu Kyi sendiri pernah menjadi mangsa penindasan apabila ditahan dalam rumah selama beberapa tahun di Rangoon kerana usahanya dalam memperjuangkan demokrasi ketika Myanmar di bawah pemerintahan diktator tentera.

Beliau terkenal sebagai pejuang kebebasan sebelum memimpin parti National League for Democracy kepada kemenangan pilihan raya pada November 2015.

Namun, Suu Kyi dikutuk ramai di seluruh dunia apabila terus berdiam diri berhubung keganasan dihadapi etnik Rohingya.

Lebih 500,000 Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh akibat keganasan terhadap mereka oleh tentera negara itu sejak 25 Ogos lalu.

Ketua Majlis Bandaraya Oxford, Bob Price menyokong usul untuk menarik balik penghormatan itu dan mengesahkan ia satu "langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini" bagi pihak berkuasa tempatan.

Katanya, orang ramai “benar-benar terkejut" dengan keadaan di Myanmar dan kebisuan Suu Kyi berhubung kekejaman itu sangat "luar biasa", katanya.

Minggu lalu, St Hugh's College di Oxford juga membawa turun portret Suu Kyi daripada dipamerkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 12:57 AM