SEORANG wanita dikenali sebagai Vu menceritakan pengalamannya selepas berjaya diselamatkan oleh Blue Dragon dari kancah pelacuran.  FOTO/AGENSI
SEORANG wanita dikenali sebagai Vu menceritakan pengalamannya selepas berjaya diselamatkan oleh Blue Dragon dari kancah pelacuran. FOTO/AGENSI
Agensi

Kelibat dua wanita yang berlari laju ke arah sebuah kereta adalah situasi sebenar yang dapat dilihat dalam cubaan menyelamatkan diri mereka daripada terus dicengkam sindiket kahwin paksa atau hamba seks di China.

Ia bukan satu usaha mudah tetapi sebuah pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di Hanoi, Vietnam dikenali sebagai Blue Dragon sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan wanita malang terbabit.

Usaha mereka sempat dirakam menerusi telefon bimbit ketika berjaya menyelamatkan remaja Vietnam dari sebuah pusat pelacuran di China yang menjadi tempat perniagaan lumayan bagi kumpulan sindiket itu.

Sehingga kini, Blue Dragon sudah membantu membawa pulang 400 wanita dan gadis pulang dari China sejak 2007.

Mereka adalah ribuan mangsa yang diseludup masuk ke China dari kawasan penduduk miskin di sekitar Vietnam, Kemboja, Myanmar dan Laos.

WANITA yang diselamatkan dibawa pulang ke pangkuan keluarga mereka. - Agensi
WANITA yang diselamatkan dibawa pulang ke pangkuan keluarga mereka. - Agensi

Seorang penyelamat Blue Dragon yang enggan dikenali berkata, tugas itu amat sukar dan memenatkan apabila mereka bekerja setiap masa.

“Tidak ada siapa yang mahu perniagaan mereka rosak.

“Namun, saya tidak boleh membiarkan perkara ini. Bayangkan jika anak anda tidak pulang makan malam. Apa yang anda ingin lakukan?” katanya.

Lazimnya, mangsa akan menghubungi mereka menggunakan perkhidmatan pesanan di China seperti WeChat dan QQ atau berhubung terus jika mempunyai telefon bimbit.

“Saya diseludup ke China, tolong bantu saya. Saya berdoa dan mengharapkan keajaiban,” kata seorang mangsa menerusi khidmat pesanan itu.

WANITA yang diselamatkan daripada sindiket pelacuran. - Agensi
WANITA yang diselamatkan daripada sindiket pelacuran. - Agensi

Bagaimanapun, kebanyakan pekerja seks dihalang daripada berhubung dengan dunia luar dan sindiket menanggung kerugian besar sekiranya ada yang lolos.

Risiko untuk menyelamatkan mereka terlalu tinggi dan kadangkala usaha itu mengambil masa berbulan-bulan untuk dilaksanakan.

Salah seorang gadis berpura-pura sakit dan dirawat di hospital sebelum menghubungi penyelamat Blue Dragon yang kemudiannya membawa mereka ke kawasan terpencil di China selepas mangsa diseludup sebagai pengantin.

Seorang lagi mangsa yang dijual kepada pusat pelacuran secara bersembunyi menggunakan telefon bimbit pelanggannya untuk menghubungi mereka sebelum mengelak pengawal di situ dan meloloskan diri.

Blue Dragon membawa pulang sehingga lapan mangsa sebulan dan setiap hari pasti ada yang menghubungi kerana terdesak ingin mendapatkan bantuan.

GAMBAR hiasan, ramai wanita Vietnam terjerat dengan sindiket pelacuran. - Agensi
GAMBAR hiasan, ramai wanita Vietnam terjerat dengan sindiket pelacuran. - Agensi

Setiap misi yang berjaya dilakukan dirakam oleh mereka apabila ibu mangsa menitiskan air mata dapat bertemu semula dengan anak masing-masing manakala gadis yang diselamatkan tidak dapat menahan senyuman lebar kerana terlalu gembira.

Dokumentasi itu dijadikan sebagai pembakar semangat kumpulan itu untuk terus melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Perasaan saya seperti kembali kepada kehidupan sebenar. Saya gembira dapat bertemu ibu,” kata Vu, 21, yang berjaya diselamatkan dan kini menjalani latihan untuk menjadi pekerja spa.

Misi menyelamat itu sudah membantu Blue Dragon mendakwa 76 penyeludup sejak lima tahun lalu di Vietnam yang mengenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun kerana melakukan kesalahan memperdagangkan orang di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 4:00 AM