Aniza Zainudin


KESUCIAN rona putih sering menghasilkan sentuhan dekorasi hiasan dalaman yang sangat menarik.

Ia bukan saja melambangkan keperibadian pemilik kediaman yang menjaminkan ketelusan, bahkan ia juga cerminan terhadap aspek kebersihan diutamakan.

Seperti pembaca sedia maklum, pemilihan warna putih turut memberi ilusi tambahan terhadap keluasan bagi sesuatu ruang.

Oleh itu, ramai yang menjadikan warna ini pilihan pertama bagi pilihan cat dinding ruang, sebelum ia dikombinasikan bersama rona kegemaran

masing-masing.

Berbeza pula bagi pilihan perabot kediaman. Secara peribadi, warna putih sebenarnya agak berisiko kerana penjagaan dan pengurusan perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati. Tambahan pula, kehadiran anak kecil yang sedang lasak membesar.

Bagi suri rumah, Nurashyikin Abd Rahim, putih sentiasa menjadi kegemaran tatkala menentukan warna konsep kediaman mahupun perabot rumah untuk keselesaan keluarga.

LATAR putih dipilih kerana ia sinonim dengan kesucian dan kebersihan berbanding rona gelap yang dikategorikan selamat.
LATAR putih dipilih kerana ia sinonim dengan kesucian dan kebersihan berbanding rona gelap yang dikategorikan selamat.

“Saya memilih warna putih kerana ia sinonim dengan kesucian dan kebersihan berbanding tona gelap yang dikategorikan selamat.

“Sebelum saya sekeluarga berpindah ke rumah teres dua tingkat ini sejak Februari tahun lalu, konsep warna pilihan terdahulu adalah hitam yang disifatkan eksklusif.

“Kemudian, idea dekorasi itu diubah kepada warna putih yang menepati konsep dekorasi minimalis bersama Scandinavia.

“Sebagai suri rumah sepenuh masa, saya memainkan peranan dalam sentuhan hiasan dalaman rumah ini bersama sokongan suami (Amir Fahruroji, 36).

IDEA tatahias di ruang makan.
IDEA tatahias di ruang makan.

“Bagi menepati konsep dekorasi, saya menggabungkan warna putih yang dominan bersama kelabu cerah, coklat cair dan juga hitam.

“Konsep minimalis sebenarnya memenuhi cita rasa dan keperluan saya sekeluarga buat masa ini kerana memiliki tiga anak berusia antara tiga hingga sembilan tahun yang sedang membesar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kajang, Selangor, Selasa lalu.

Menjengah ruang tamu keluarga ini, penulis dapat merasai keharmonian dan ketenangan apabila ruang santai ini sepenuhnya mengaplikasikan warna putih bersama tona pop-up yang minimal.

 IDEA penataan di ruang dapur turut berlatarkan putih.
IDEA penataan di ruang dapur turut berlatarkan putih.

Mengulas mengenai sofa, wanita berusia 36 tahun ini berkata, pemilihan perabot utama perlu dilakukan dengan beberapa kriteria penting seperti tahan lama, tahan lasak dan mudah diselenggara.

Penjagaan sofa fabrik berwarna kelabu lembut bukanlah proses yang mudah. Oleh itu, wanita ini memilih perabot jenis sarung yang boleh ditukar ganti.

Sekiranya terdapat cela pada fabrik sofa, wanita ini menyarankan kotoran itu segera dibersihkan atau menggantikan sarung kusyen sofa tambahan.

DEKORASI latar putih tidak mengehadkan kreativiti pada ruang.
DEKORASI latar putih tidak mengehadkan kreativiti pada ruang.

Walaupun kedengaran agak leceh, Nurashyikin berpendapat, sofa berwarna terang mengajar dia dan keluarga untuk lebih berdisiplin serta mementingkan kebersihan.

“Berbanding warna gelap, putih atau warna terang lebih mudah dikesan kekotorannya. Jadi, kita lebih sensitif dengan aspek kebersihan dan kesihatan.

“Jika berwarna gelap, mungkin kita akan mengambil ringan mengenai penyelenggaraan kebersihan sofa itu. Begitu juga dengan pilihan permaidani bercorak geometri berwarna putih hitam ini.

“Bagi menaikkan seri ruang ini, saya turut menyelitkan kerusi malas yang diperbuat daripada material kayu berwarna kelabu gelap bersama coklat.

“Selain itu juga, saya turut menerapkan elemen hijau melalui tumbuhan dalam rumah seperti lidah mentua di kebanyakan ruang utama termasuk bilik tidur dan dapur.

SUSUN letak kemasan kayu palet pelbagai guna mengimbangi latar putih yang diketengahkan.
SUSUN letak kemasan kayu palet pelbagai guna mengimbangi latar putih yang diketengahkan.

“Menyentuh elemen aksesori hiasan dinding, saya tidak terlalu menekankan kuantiti, sebaliknya kualiti yang memenuhi elemen minimalis seperti bingkai gambar dan cermin,” ceritanya.

Bagi ruang makan pula, Nurashyikin memilih perabot pelbagai fungsi dengan tona sama, putih, coklat dan elemen hijau yang disifatkan dapat menjimatkan ruang pada waktu tertentu.

Cermin besar yang menjadi latar belakang ruang berkenaan bukan sekadar berfungsi sebagai hiasan, sebaliknya ia turut memberi pencahayaan semula jadi.

Menepati konsep rumah keluarga, wanita ini turut memberi penekanan terhadap ruang tambahan di tingkat bawah kediaman seperti ruang kerja dan ruang kanak-kanak.

Berkongsi panduan penjagaan perabot berwarna terang, wanita ini mengakui kita perlu berdisiplin untuk mengekalkan kesucian warna berkenaan.

Ini merangkumi tindakan pembersihan segera sekiranya berlaku tumpahan, contengan dan sebagainya. Tambahan pula, di pasaran terdapat pilihan produk pembersih pelbagai fungsi.

Bagi yang berkeluarga dan memiliki anak kecil, peranan ahli keluarga dewasa seharusnya mengajar si cilik dengan cara lebih ‘lembut’ seperti pendidikan menerusi teladan dan perbuatan sendiri.

WARNA putih selain menyerlah juga menjadikan sesuatu
WARNA putih selain menyerlah juga menjadikan sesuatu

Menitipkan idea dekorasi, Nurashyikin berkata, sentuhan hiasan dalaman antara satu terapi yang sihat namun ia memerlukan perancangan rapi bagi mengelakkan pembaziran.

Melakukan rujukan

di Internet dan memilih konsep dekorasi bersesuaian adalah dua faktor yang dapat membantu individu merancang langkah penataan seterusnya seperti membeli perabot dan alat kelengkapan rumah lain.

Tidak menafikan nafsu membuak-buak ketika melihat perhiasan rumah yang cantik, wanita ini menyarankan supaya berfikir secara rasional mengenai fungsi dan keperluan barang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 1:11 PM