PANEL Fotovoltan Suria dipasang pada kanopi stesen bagi menjana tenaga elektrik di sebelah siang.
PANEL Fotovoltan Suria dipasang pada kanopi stesen bagi menjana tenaga elektrik di sebelah siang.
Zaitie Satibi


Indeks Bangunan Hijau (GBI) adalah satu industri di Malaysia yang kian diiktiraf sebagai alat penarafan hijau untuk bangunan bagi menggalakkan kelestarian dalam persekitaran yang dibina. Usaha ini juga bagi menggalakkan kesedaran dalam kalangan pemaju, arkitek, jurutera, perancang, pereka, kontraktor mahupun masyarakat berkenaan isu alam sekitar dan tanggungjawab untuk generasi masa depan.

GBI juga memberi peluang kepada pemaju dan pemilik bangunan untuk mereka bentuk serta membina persekitaran lebih hijau. Selain bangunan mampan yang boleh memberikan penjimatan tenaga, penjimatan air, persekitaran dalaman sihat, hubungan lebih baik dengan pengangkutan awam dan penggunaan kitar semula untuk projek mereka serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Keunikan GBI, ia dibangunkan khusus untuk iklim Malaysia yang bercirikan tropika, konteks alam sekitar dan pembangunan, budaya serta keperluan sosial. Ia dicipta untuk menentukan bangunan hijau dengan mewujudkan piawaian pengukuran yang sama dan reka bentuk keseluruhan bangunan dalam menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk semua.

Shell Malaysia mencatat sejarah apabila menjadi peruncit industri minyak pertama di Asia Tenggara yang dianugerahkan pensijilan GBI. Sijil itu diberikan kepada Shell Damansara Jaya (Petaling Jaya, Selangor) dan Shell Taman Connaught (Cheras, Kuala Lumpur) dengan kedua-duanya kini diiktiraf sebagai bangunan hijau.

Pengiktirafan itu diterima selepas pengenalan kategori Peruncit Bahan Api dalam GBI seterusnya membuka jalan bagi industri minyak dan bahan api untuk memperkenalkan lebih banyak bangunan mesra alam di stesen.

Antara inisiatif dan ciri kelestarian hijau diketengahkan termasuk pemasangan sistem bumbung bersepadu dengan Fotovoltan Suria (PV) pada bahagian kanopi di stesen yang membolehkan penjanaan elektrik pada sebelah siang. Sumber tenaga bersih yang diperoleh daripada suria mampu menambah keperluan tenaga stesen berkenaan dan ini dapat membantu mengurangkan kos yang dibelanjakan ke atas bekalan elektrik daripada sistem grid.

Sistem 50 kilowatt (kW) umpamanya digunakan di stesen Shell Damansara Jaya membantu mengurangkan perbelanjaan bil elektrik sekitar 20 peratus. Difahamkan, stesen terbabit menanggung kos bulanan bil elektrik kira-kira RM11,000 dan peratusan itu mampu memberikan penjimatan yang banyak.

SHAIRAN Huzani (kanan) menerima pensijilan GBI daripada Saifuddin.
SHAIRAN Huzani (kanan) menerima pensijilan GBI daripada Saifuddin.

Stesen berkenaan turut menggunakan permukaan bumbung dan dinding yang dicat putih bagi menangkis haba solar. Ini dapat membantu mengurangkan suhu keseluruhan dalam bangunan, sekali gus mengurangkan beban sistem pendingin hawa. Penambahbaikan ini memberikan penjimatan dengan anggaran sebanyak RM22,750 setahun bagi satu stesen.

Elemen pencahayaan juga diberi kemas kini apabila peralihan kepada lampu LED yang tidak hanya tahan lebih lama, tetapi turut mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 285 jam kW setahun.

Penggunaan mangkuk tandas tanpa air dan pili khas jimat air mengubah bilik air konvensional untuk memacu kecekapan air. Pemasangan pili khas ini berjaya mengurangkan penggunaan air sehingga 60 peratus berbanding pili biasa dan ini dapat menjimatkan sehingga 310 meter padu air setahun untuk setiap stesen minyak.

Stesen mesra alam ini juga dilengkapi sistem peninjau tenaga (EMS), membolehkan pemerhatian terhadap penggunaan elektrik dan air dilakukan dengan data-data berkaitan penjimatan dan unsur mesra alam dipaparkan pada skrin elektronik di pintu masuk kedai. Seterusnya, amaran dikeluarkan untuk tindakan segera jika berlaku sebarang pembaziran tenaga.

PENGGUNAAN lampu LED yang jimat tenaga kerana memiliki jangka hayat lebih lama.
PENGGUNAAN lampu LED yang jimat tenaga kerana memiliki jangka hayat lebih lama.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain berkata, apabila kategori baru untuk bahan api runcit diperkenalkan dalam GBI, ia sekali gus membuka jalan bagi dunia pengeluar bahan api supaya memperkenalkan lebih banyak penyelesaian mesra alam di stesen minyak dimiliki.

Pihaknya memahami peranan penting yang dimainkan oleh sumber tenaga dalam membantu orang ramai mencapai dan mengekalkan kualiti hidup yang baik. Oleh itu, pihaknya juga sentiasa berusaha untuk mencari jalan baru bagi menyediakan penyelesaian kepada sumber tenaga lebih bersih.

“Bukan mudah untuk meyakinkan orang ramai bahawa syarikat petroleum juga peduli alam sekitar. Tetapi Shell Malaysia mampu membuktikannya dengan menjadi syarikat petroleum pertama yang diiktiraf sebagai ‘stesen minyak hijau’ dalam tempoh enam bulan, bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia Pasifik.

“Bagi kami ia adalah satu tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar, di samping membekalkan sumber tenaga kepada pengguna. Kami bukan sahaja menjalankan kajian bagi menghasilkan bahan api fosil dan produk petroleum lain yang lebih baik, tetapi juga untuk sumber tenaga masa hadapan termasuk untuk kenderaan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penerimaan plak pensijilan GBI yang disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Shell Damansara Jaya, baru-baru ini.

Shairan Huzani berkata, syarikat yang sudah bertapak sejak 128 tahun di negara ini bercita-cita untuk mencapai penyelesaian sumber tenaga yang bersih dan mampan dalam jangka panjang. Ini ditunjukkan dalam inisiatif operasi syarikat sebelum ini seperti Shell Eco Marathon sehingga rangkaian produk dan perkhidmatan di stesen bahan api runcit sehenti.

“Ciri tambahan turut dipasang di stesen minyak ini bertujuan untuk menggalakkan perubahan tingkah laku positif dalam kalangan pelanggan. Contohnya, ruang tempat letak kereta khusus mereka yang menumpangkan kenderaan dan ruang untuk kereta elektrik.

“Selain itu, Shell Malaysia juga berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon di semua stesen minyaknya sehingga 50 peratus menjelang 2025,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 11:43 AM