Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein. - FOTO Aziah Azmee
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein. - FOTO Aziah Azmee
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Agrobank komited melahirkan penjaja kecil di seluruh Malaysia yang mahir teknologi dengan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM3 juta bagi Program Penjaja Cashless tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein berkata, program itu dijangka dapat dimanfaatkan kira-kira 10,000 penjaja kecil di seluruh negara.

Katanya, program yang menyasarkan golongan penjaja kecil ini adalah inisiatif Agrobank dalam membantu golongan terbabit bagi pengurusan kewangan sistematik selain kemudahan mod pembayaran lebih mudah, cepat dan selamat.

"Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pendedahan kepada penjaja kecil terutamanya untuk mengguna pakai transaksi sifar tunai dalam aktiviti jualan harian mereka.

"Sebelum ini kami telah mengadakan program seumpama ini di beberapa negeri antaranya Kampung Cashless di Ulu Tembeling Pahang; Penjaja Cashless di Pelangai Pahang; Komuniti Cashless di Daro, Sarawak dan Penjaja Cashless Pasar Malam Api-Api, Kota Kinabalu, Sabah.

"Buat masa ini kami merancang untuk meluaskan perkhidmatan Cashless Agrobank ke Sik, Kedah pada bulan depan dan satu projek mega Agrobank Cashless Pekan Sehari Temerloh Pahang sebagai simbolik program Cashless Agrobank peringkat kebangsaan.

"Setakat ini, hampir 200 penjaja sudah menggunakan perkhidmatan tanpa tunai Agrobank dan untuk permulaan kami menyasarkan 1,500 penjaja kecil akan terbabit dalam Program Penjaja Cashless Agrobank," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis pelancaran Penjaja Cashless Agrobank di Jalan Tengah, di sini, hari ini.

Seramai 60 penjaja kecil di Jalan Tengah sudah mengaplikasi penggunaan DuitNow QR dan diberikan kanopi perniagaan secara percuma daripada Agrobank.

Tengku Ahmad Badli berkata, inisiatif ini bakal memberikan kelebihan kepada penjaja di pasar untuk pengurusan kewangan lebih efisien, peluang perkembangan perniagaan, mempelbagaikan pilihan pembayaran serta pengurusan inventori yang lebih berkesan.

Selain itu, program ini bertujuan mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat sekitar bagi menawarkan peluang perniagaan dan perkhidmatan Agrobank serta sebagai tanggungjawab sosial korporat kepada penduduk sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 3:41 PM