FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dasar mengenai harta intelek (IP) akan disemak semula untuk meningkatkan ekosistem hasil kreativiti negara yang akan memperluas pemilikan, penerimagunaan dan pemindahan teknologi.

Selain itu, aset IP akan dimanfaatkan dalam penilaian untuk memperoleh pembiayaan bagi menggalakkan aktiviti pengkomersialan dan inovasi, berdasarkan laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Untuk menjana nilai maksimum IP, Pusat Pemindahan Teknologi (TTO) di Institusi Penyelidikan Kerajaan (GRI) serta institut pengajian tinggi (IPT) akan dimanfaat bagi meningkatkan keupayaan termasuk kemampuan dalam penyelidikan dan pengkomersialan.

"TTO akan disokong oleh bakat khusus dalam pemindahan teknologi serta pengurusan dan penilaian IP bagi mempercepat aktiviti pengkomersialan di samping menggalakkan kerjasama antara GRI, IPT serta industri," katanya.

Kajian itu menjelaskan, kadar pengkomersialan harta intelek (IP) di dalam negara masih rendah dan pihak industri kurang bersedia untuk menerima guna teknologi baharu, sementara kos pembangunan termasuk penerimagunaan teknologi kekal tinggi.

Kerajaan juga berhasrat memberi tumpuan mengoptimumkan potensi Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) selain mempercepatkan kemajuan teknologi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam tempoh akhir RMK-12.

Dalam hubungan ini, dua strategi baharu akan dilaksanakan iaitu mempercepatkan aktiviti R&D&C&I serta melonjakkan penerimagunaan teknologi termaju.

Pada 2025, kerajaan menyasarkan perbelanjaan kasar R&D kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 2.5 peratus berbanding 0.95 peratus pada 2020, dan bilangan permohonan oleh warganegara menokok kepada 2,000 paten, daripada 936 pada 2022.

Kerajaan turut menyasarkan Malaysia berada di kedudukan 20 teratas dalam Global Innovation Index pada 2025 berbanding tempat ke-36, tahun sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 4:31 PM