Bangunan PNB.
Bangunan PNB.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Sebanyak RM8.9 bilion pengagihan pendapatan dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan dimanfaatkan 10.6 juta pemegang unit.

Pendapatan sebanyak 4.60 sen merangkumi dividen sebanyak 3.35 sen dan bonus 1.25 sen serta bonus tambahan 0.5 sen itu diumumkan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar, pihaknya telah memberi agihan pendapatan yang kompetitif kepada pemegang unit ASB, termasuk bonus tambahan pada tahun ini.

"Jumlah agihan sebanyak RM8.9 bilion akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB.

"Bonus tambahan itu adalah untuk membantu pemegang unit kami berhadapan dengan tekanan kos sara hidup.

"Ketegangan geopolitik, inflasi, kenaikan kadar faedah dan dasar sifar-Covid di China telah membawa kepada peningkatan ketidaktentuan pasaran.

"Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, berbanding suku kedua 2022 pada 8.9 peratus dan suku pertama 2022 pada 5.0 peratus.

"Namun, pasaran modal turut terjejas akibat trend makro global, iaitu inflasi, kadar faedah tinggi, gangguan rantaian bekalan dan pengukuhan mata wang Dollar Amerika.

"Sehingga kini, Indeks Komposit Kuala Lumpur FBM telah menurun sebanyak 6.7 peratus setakat 21 Disember 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, tahun ini syarikat Malaysia muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pulangan, didorong oleh pelaburan ASB dalam sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan penjagaan kesihatan.

Menurutnya, ASB memanfaatkan prestasi pasaran ekuiti domestik yang agak kukuh pada separuh pertama 2022 untuk meraih keuntungan, mengimbangi semula portfolio dan meningkatkan pegangan tunainya.

"ASB terus memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif mengatasi penanda aras kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.

"Jumlah bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.6 juta akaun, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 4.6 bilion atau 2.53 peratus kepada 186.4 bilion unit.

"Ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai satu instrumen simpanan dan pelaburan yang penting kepada Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

"ASB terus memberikan pulangan mengatasi penanda arasnya, hasil daripada strategi perumpukan aset dan kepelbagaian yang telah kami laksanakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami berbesar hati melihat peningkatan berterusan rakyat Malaysia yang melabur dengan kami, serta peningkatan saiz pelaburan mereka dan ASB kekal sebagai komponen asas dalam perancangan kewangan pemegang unit kami," katanya.

Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

Pengiraan pengagihan bonus tambahan adalah tertakluk kepada 30,000 unit pertama untuk setiap akaun.

Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2023.

Pembayaran dividen dibuat daripada pendapatan bersih ASB manakala bonus dan bonus tambahan dibayar daripada dana proprietari PNB atas budi bicara syarikat.

Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan Internet ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 31 Disember 2022.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Januari 2023, di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 3 Januari 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 2:26 PM