Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - FOTO NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan dan Bank Dunia menyedari bahawa Malaysia memerlukan satu dasar bersepadu dan rangka kerja sokongan institusi dalam usaha untuk mendigitalkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan juga menyedari akan keperluan untuk memperbaharui agenda pendigitalan dengan antara lainnya mengukuhkan lagi pemantauan dan penilaian bagi menambah baik program sokongan kerajaan dan menangani isu kekurangan tenaga kerja.

"Penyepaduan pelbagai dasar dan penyelarasan dalam kalangan kementerian dan agensi yang berbeza akan menjadi kunci dalam agenda ini untuk memanfaatkan lagi potensi ekonomi digital.

"Unit Perancang Ekonomi dan MyDIGITAL Corporation akan menyokong Majlis Ekonomi Digital Nasional dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (MDE4IR), dipengerusikan oleh perdana menteri untuk mencapai matlamat penerimagunaan teknologi digital yang berjaya dan ekonomi digital yang pesat.

"Ini akan mendekatkan lagi kita kepada sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2025," kata Mustapa dalam ucapan pembukaannya semasa melancarkan laporan 'Digitilising SMEs To Boost Competitiveness' (Mendigitalkan PKS Untuk Meningkatkan Daya Saing) oleh Bank Dunia, hari ini.

Mustapa berkata laporan itu akan membantu melaksanakan Rangka Tindakan MyDIGITAL dan menyediakan input penting ke arah matlamat negara untuk mentransformasikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) apabila kerajaan menjalankan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan bermula dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

"Kami memberi perhatian terhadap jurang yang dikenal pasti oleh Bank Dunia seperti risiko pertindihan dalam banyak program sokongan kerajaan.

"Dalam bahagian kawal selia, kita perlu mengukuhkan perlindungan bagi pengguna dengan peningkatan perlindungan data; menyediakan undang-undang lebih ketat bagi keselamatan siber; undang-undang terhadap persaingan yang dapat mencerminkan dengan lebih baik lagi kedinamikan ekonomi digital dan menangani had rangka kerja Data Terbuka ketika ini," katanya.

Menurutnya, kerajaan telahpun mula meneliti beberapa cadangan daripada laporan itu dan lebih banyak pembaharuan akan dilaksanakan seperti perlindungan data peribadi yang lebih kukuh.

Ini bertujuan untuk meningkatkan lagi keyakinan pengguna terhadap ekonomi digital bagi memudahkan lagi pembabitan PKS dalam ekonomi digital, katanya.

Sementara itu, pengarah negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiame Diop, dalam ucapannya semasa pelancaran laporan itu berkata, meskipun pandemik Covid-19 telah mempercepatkan trend ekonomi digital, namun pengetahuan mengenai pendigitalan dalam kalangan PKS masih terhad, membayangkan peningkatan risiko jurang digital di negara ini.

"Dapatan utama laporan itu mencadangkan meskipun PKS Malaysia teruja dengan teknologi digital, namun kapasiti mereka untuk memanfaatkan instrumen digital ini masih terhad.

"Peningkatan penggunaan teknologi digital yang kita lihat semasa pandemik kebanyakannya bagi fungsi jualan dan pemasaran dalam kalangan PKS," kata Diop.

Beliau berkata ini berbeza dengan syarikat besar yang dapat melabur lebih banyak lagi ke dalam fungsi perniagaan lebih meluas seperti pengurusan rantaian bekalan dan perancangan pengeluaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 3:37 PM