Shahrom
Shahrom
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Commerze Capital Sdn Bhd (Commerze Capital) melancarkan kempen Bangkit SME bermula 1 April 2022 yang akan berlangsung selama tiga bulan.

Kempen itu bertujuan menyediakan dua kemudahan kewangan seperti pemfaktoran (pembiayaan invois) dan khidmat nasihat kewangan (advisory) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Commerze Capital, Shahrom Latif berkata, dengan peruntukan RM100 juta, kempen Bangkit SME yang mula dibuka mulai 1 April lalu menyediakan dua kemudahan kewangan seperti pemfaktoran (pembiayaan invois) dan khidmat nasihat kewangan untuk PKS yang terjejas akibat Covid-19.

Katanya, syarikat komited membantu PKS memulihkan dan melancarkan aliran tunai perniagaan serta mengembangkan perniagaan mereka secara mampan.

"Kempen ini direka khas untuk pembekal, vendor dan kontraktor kepada kerajaan, agensi berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, untuk kempen Bangkit SME ini, sasaran utama kepada perniagaan PKS yang berteraskan kontrak, apabila invois yang belum dibayar oleh pelanggan perniagaan boleh dijadikan cagaran untuk pembiayaan.

Kemudahan pemfaktoran oleh syarikat ini 100 peratus patuh syariah dengan menggunakan struktur Syariah Tawarruq & Hawalah (pertukaran hutang untuk komoditi).

Khidmat nasihat kewangan (advisory) adalah perkhidmatan perundingan bagi membantu PKS untuk mendapatkan suntikan modal tambahan menerusi pembiayaan dari institusi kewangan aliran utama seperti bank komersial atau bank milik kerajaan.

Menerusi khidmat nasihat kewangan ini, PKS akan diberikan tunjuk ajar dan bimbingan khususnya dalam aspek permohonan, serta diberi akses kepada pembiayaan perniagaan.

Commerze Capital adalah syarikat kewangan milik Bumiputera yang beroperasi sejak 2007 selepas mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia untuk menjalankan perkhidmatan kewangan seperti pemfaktoran, pajakan, dan kredit bangunan.

Syarikat ini juga diberi kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk memfaktorkan invois bagi kontrak yang dikeluarkan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 8:00 AM