GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM514.5 juta bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2), bersamaan 4.30 sen seunit kepada 481,030 pemegang unit yang kini memiliki 11.96 bilion unit.

Ia turut mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM883.5 juta bagi Amanah Saham Malaysia (ASM), iaitu bersamaan 4.00 sen seunit kepada 567,904 pemegang unit dengan pegangan 22.09 bilion unit.

Secara keseluruhan, ASNB mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM1.39 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 untuk dua dana harga tetap berkenaan.

ASNB dalam kenyataan hari ini berkata, sehingga 22 Mac 2022, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM563.93 juta, manakala ASM mencatatkan RM1.03 bilion.

Katanya, pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 4.30 peratus dan 4.00 peratus, yang mana kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 1.85 peratus sebanyak 245 mata asas untuk ASB 2 dan 215 mata asas untuk ASM.

"Pendapatan bagi kedua-dua dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa, yang secara umumnya didorong oleh pembukaan semula ekonomi di kebanyakan negara seiring kita menuju ke fasa endemik.

"Kedua-dua dana ini juga meraih keuntungan menerusi strategi kepelbagaian portfolio dengan peningkatan peruntukan dalam pelaburan antarabangsa kepada 18.7 peratus untuk ASB 2 berbanding 15.7 peratus pada tahun lalu dan 20.5 peratus bagi ASM berbanding 19.8 peratus pada 2021.

"PNB sentiasa berpegang teguh kepada mandat untuk memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit dan akan terus membina portfolio berdaya tahan yang mampu mengharungi ketidaktentuan ekonomi serta pasaran," katanya.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh kedua-dua akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2022.

Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB bagi kedua-dua dana ditangguhkan buat sementara waktu dari 23 hingga 31 Mac 2022 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 2:01 PM