KUMPULAN MR DIY memastikan stok barangan di semua cawangan mencukupi berdasarkan keperluan pelanggan di setiap kawasan termasuk barangan pembersihan.
KUMPULAN MR DIY memastikan stok barangan di semua cawangan mencukupi berdasarkan keperluan pelanggan di setiap kawasan termasuk barangan pembersihan.

Kuala Lumpur: MR DIY Group (M) Berhad (MR DIY) bersiap sedia membantu rakyat Malaysia untuk mendapatkan lebih penjimatan dengan inisiatif Harga Dikunci: Harga Kami Tetap Sama di seluruh Malaysia.

Melalui inisiatif ini, MR DIY komited untuk tidak menaikkan harga barang dan akan terus mengekalkan harga rendah di tiga jenamanya iaitu MR DIY, MR TOY and MR DOLLAR sehingga 31 Mac 2022.

Ketua Pemasaran MR DIY, Alex Goh berkata, pandemik yang melanda menjejaskan nilai rantaian pemasaran global menjadikan kos pembuatan, pengangkutan dan barangan runcit meningkat dengan signifikan di mana ramai peniaga meletakkan kadar peningkatan kos itu ke atas pembeli dengan menaikkan harga pasaran.

"Bagaimanapun, MR DIY nekad memastikan harga barangan stabil agar pembeli tidak terkesan.

"Kami memanfaatkan hubungan terus dengan kilang pengeluar, sistem logistik kami yang sedia ada serta keputusan data analitik untuk memastikan kami sentiasa memberikan yang terbaik pada kadar harga berpatutan dan mampu milik kepada pelanggan.

"Sebanyak 886 cawangan di seluruh Malaysia serta saluran dalam talian e-dagang kami juga membantu memastikan mereka mendapat akses kepada barangan keperluan ini.

"Dengan komitmen tidak menaikkan harga barang, harapan kami dapat terus memberi kemudahan buat rakyat Malaysia tanpa merasa terbeban lebih-lebih lagi dalam waktu mencabar ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Kumpulan MR DIY juga cekap memastikan stok barangan di semua cawangan mencukupi berdasarkan keperluan pelanggan di setiap kawasan termasuk barangan pembersihan yang diperlukan oleh mereka yang terkesan akibat insiden banjir, alatan persekolahan seiring dengan pembukaan sesi persekolahan bermula 10 Januari 2022 meliputi pelitup muka, pelindung muka, cecair pembasmi kuman serta barangan keperluan lain bagi membantu mengekang penularan wabak Covid-19.

Pada November 2021, Kumpulan ini juga mengumumkan pelancaran set ujian kendiri Covid-19 yang diluluskan oleh kerajaan untuk pelanggannya.

Pelanggan boleh mendapatkan lebih 18,000 barangan keperluan harian dari cawangan MR DIY; makanan, minuman, barangan keperluan rumah pada harga tetap RM2 atau RM5 di kedai MR DOLLAR; dan permainan kanak-kanak dengan harga berpatutan di MR TOY.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 7:01 AM