TENGKU Zafrul. FOTO Arkib NSTP
TENGKU Zafrul. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Tahun 2022 akan menjadi tahun di mana kerajaan memberi tumpuan untuk memulih semula setiap segmen sosioekonomi negara.

Di bawah fokus yang ditetapkan, kerajaan akan meneruskan pemberian bantuan tunai langsung secara bersasar, memperkasa aspek pendidikan dan kesihatan awam selain terus menjana peluang pekerjaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha membina daya tahan turut digerak bagi mengukuhkan keupayaan perniagaan dan sistem kesihatan.

"Ini bagi memastikan instrumen pembaharuan diperhebat supaya seiring dengan landskap dunia teknologi tanpa sempadan dan agenda kelestarian," katanya dalam Laporan Laksana ke-79, semalam.

Menurutnya, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Bajet) 2022 diluluskan tanpa sebarang pindaan di Dewan Rakyat, selepas bacaan kali ketiga yang diputuskan melalui persetujuan undi suara majoriti.

"RUU ini juga dibentangkan di Dewan Negara. Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera berkenaan mendokong tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

"Tahun 2022 semestinya diberi tumpuan untuk terus memulihkan negara dari aspek sosioekonomi, pendidikan dan kesihatan awam," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, sebanyak 500,257 pencari kerja berjaya mendapat peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan kerajaan, melangkaui sasaran 500,000 peluang pekerjaan bagi tahun 2021.

"Kejayaan ini lebih bermakna memandangkan pasaran buruh menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan

Covid-19 sejak Mac 2020, sehingga pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020," katanya.

Antara inisiatif utama yang telah menyumbang kepada pencapaian kejayaan berkenaan adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP).

Setakat 3 Disember 2021, PenjanaKerjaya 2.0 berjaya menempatkan seramai 221,966 orang pekerja, melebihi sasaran keseluruhan 200,000 peluang pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 8:49 AM