Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kuala Lumpur: Malaysia meletakkan keutamaan membangunkan kembali ekonominya selain menempatkan negara pada kedudukan lebih kukuh dengan ekonomi lebih kompetitif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, cabaran dihadapi negara sejak 18 bulan lalu turut memberikan peluang kepada kerajaan mengkaji semula dasar dan strateginya.

Mustapa seterusnya menyenaraikan beberapa keutamaan kerajaan dalam tempoh 10 tahun akan datang termasuk meningkatkan pendapatan, menghapuskan kemiskinan mutlak dan mengurangkan jurang pembangunan antara negeri dan wilayah serta memastikan pertumbuhan berkualiti yang mampan - iaitu pertumbuhan tanpa menjejaskan persekitaran.

"Keutamaan lain adalah mewujudkan persekitaran dasar kondusif untuk sektor swasta, pelabur tempatan dan asing, pertumbuhan dan pembangunan yang inklusif serta menghasilkan lebih banyak perpaduan dan penyatuan dalam konteks Keluarga Malaysia dan memastikan mekanisme penyampaian kerajaan ditingkatkan untuk memenuhi matlamat pembangunan," katanya dalam ucaptama di webinar bertajuk Rancangan Malaysia Ke-12: Membangunkan Negara dalam Semangat Keluarga Malaysia di sini, semalam.

Mustapa berkata, Unit Perancang Ekonomi membabitkan diri secara aktif dengan pelbagai pihak berkepentingan dari seawal April 2019 dalam menyiapkan RMK-12, yang dibentangkan pada 27 September ini.

"Seperti rancangan lima tahun sebelumnya, RMK-12 memberikan trajektori menyeluruh agenda pembangunan kerajaan. Ia menyediakan petunjuk arah kepada agensi kerajaan, sektor swasta, pelabur dan masyarakat secara umum mengenai keseluruhan hala tuju kerajaan Malaysia," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 8:21 AM