IMRI
IMRI

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) yakin kadar penggunaan internet kediaman kekal positif walaupun sebahagian pekerja mula kembali ke pejabat selaras kelonggaran sekatan yang diumumkan sebelum ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar berkata, walaupun ada kakitangan kembali ke pejabat, kadar penggunaan internet dilihat kekal tinggi khususnya untuk pengguna kediaman.

"Ini kerana pengguna mula beralih ke penggunaan data bagi tujuan berbeza. Jika sebelum ini internet digunakan untuk kerja atau pembelajaran, kini ia juga digunakan sebagai sumber hiburan," katanya.

Menurutnya, penggunaan internet boleh disifatkan sebagai perkhidmatan asas pada masa ini dan cara penggunaannya juga berubah.

"Walaupun sebahagian pekerja kembali ke pejabat, terdapat syarikat yang beralih ke cara kerja hibrid apabila beberapa peratus daripada jumlah pekerja masih perlu beroperasi dari rumah.

"Ini cara kerja masa depan dan kami yakin pertumbuhan penggunaan internet berterusan," katanya selepas pengumuman prestasi kewangan TM bagi tempoh separuh tahun pertama 2021 (1H2021) secara maya semalam.

Bagi tempoh berkenaan, TM mencatatkan hasil RM5.57 bilion, meningkat 8.2 peratus berbanding RM5.15 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Pencapaian ini dipacu pertumbuhan merentasi semua segmen perniagaannya – unifi, TM One dan TM Wholesale.

Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (Patami) meningkat 27.3 peratus kepada RM544 juta berbanding RM427.2 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, syarikat terus melabur dalam pertumbuhan masa hadapan dengan memodenkan rangkaian dan platform teknologinya, bagi membawakan penyelesaian-penyelesaian masa kini dan masa depan terbaik buat pelanggannya dari pelbagai segmen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 7:15 AM