EKONOMI negara mampu pulih dan kembali berkembang mulai separuh kedua tahun ini jika semua pihak memainkan peranan masing-masing.
EKONOMI negara mampu pulih dan kembali berkembang mulai separuh kedua tahun ini jika semua pihak memainkan peranan masing-masing.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Kerajaan akan berusaha melakukan yang terbaik bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dan memastikan proses pemulihan ekonomi dapat diteruskan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, orang ramai juga boleh memainkan peranan masing-masing dengan memastikan diri mereka divaksin melalui aplikasi MySejahtera.

"Ini penting untuk memastikan ekonomi kita mampu pulih dan kembali berkembang mulai separuh kedua tahun ini," katanya dalam perkongsian laporan Laksana ke-56 yang diadakan secara langsung di Facebooknya, semalam.

Menurutnya, program vaksinasi yang lancar dan jumlah orang ramai yang mendapat vaksinasi meningkat mampu melonjakkan ekonomi negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kadar vaksinasi dos pertama di Malaysia dalam usaha mencapai imuniti kelompok bagi menyekat penularan Covid-19 ialah antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Setakat ini, Malaysia sudah memberi lebih tiga juta dos vaksin Covid-19 termasuk lebih dua juta penerima memperoleh suntikan pertama.

Sementara itu, memetik laporan oleh Moody's Investors Service baru-baru ini yang memberikan penarafan A3 kepada Malaysia, Tengku Zafrul berkata, ia jelas mencerminkan keyakinan ke atas ekonomi negara terus kekal dalam landasan pemulihan tepat dengan prospek yang stabil.

Beliau berkata, laporan firma penarafan antarabangsa itu mengunjurkan prospek ekonomi negara yang stabil berlandaskan kepada beberapa faktor utama.

Katanya, ia berdasarkan kepelbagaian, daya saing, skala ekonomi bersaiz sederhana yang besar, sumber semula jadi yang mencukupi serta prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh, malah Moody's turut menjangkakan pandemik Covid-19 tidak akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

"Gelombang jangkitan Covid-19 ketika ini dan masa hadapan hanya bersifat sementara dan ia tidak akan menghalang ekonomi negara kembali ke tahap lebih tinggi.

"Tambahan pula, kerajaan masih mengekalkan dasar ekonomi dan fiskal yang efektif dan berhemah.

"Program vaksinasi kebangsaan juga membantu mempercepat pemulihan ekonomi negara jika kita dapat mencapai imuniti berkelompok pada waktu yang disasarkan," katanya.

A3 adalah penarafan yang mencerminkan negara masih memiliki kedudukan kewangan mantap dan mempunyai rizab tunai dengan risiko kemungkiran bayaran semula hutang yang rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 7:00 AM