PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik.
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik.
PETRONAS mengekalkan kedudukannya sebagai 500 jenama paling bernilai.
PETRONAS mengekalkan kedudukannya sebagai 500 jenama paling bernilai.

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) mengekalkan kedudukannya sebagai 500 jenama paling bernilai Asean oleh Brand Finance Global 500 tahun ini.

Dalam satu kenyataan semalam, syarikat minyak nasional itu berkata, kumpulan juga masih berada di tempat kesembilan dalam kalangan jenama perundingan penilaian minyak dan gas global (O&G).

Katanya, Indeks Kekuatan Jenama Petronas juga meningkat kepada 87 mata berbanding 86.3 mata pada tahun lalu.

Indeks itu dinilai berdasarkan prestasi jenama dalam langkah tidak ketara berbanding pesaingnya.

Brand Finance meletakkan kedudukan Petronas ini berdasarkan kepada prestasi jenama yang konsisten, menyumbang kepada nilai jenama sebanyak AS$12.04 bilion walaupun turun dari AS$15.2 bilion pada tahun lalu.

Dalam penilaian itu, Brand Finance mempertimbangkan tiga komponen utama dalam mengira nilai jenama iaitu kekuatan jenama, perniagaan dan ekonomi.

Semua 20 jenama O&G dalam senarai itu turut menyaksikan penurunan nilai jenama mereka terutamanya disebabkan oleh penurunan perniagaan dan faktor luaran.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik juga tersenarai di kedudukan ke-38 dalam Brand Guardians 2021 global.

Tengku Muhammad juga turut diiktiraf antara tiga CEO syarikat O&G teratas dunia serta CEO Asean yang mempunyai kedudukan tertinggi.

Tengku Muhammad berkata, pencapaian itu adalah pengiktirafan atas sumbangan besar yang diberikan oleh semua kakitangan Petronas.

"Kumpulan akan berusaha untuk meneroka peluang pertumbuhan baru dalam mengawal cabaran serta peralihan tenaga global ke arah membuka lebih banyak peluang dalam mencipta nilai tambah untuk pemegang kepentingan kumpulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 7:00 AM