IRWAN Fairuzi bersama rempeyek The Mavlez keluarannya.
IRWAN Fairuzi bersama rempeyek The Mavlez keluarannya.
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) pada 2018 susulan penyakit saraf yang dialami, Irwan Fairuzi Johari antara Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang boleh dijadikan contoh atas semangatnya untuk terus memandang ke hadapan demi kelangsungan hidup serta perniagaan makanan berasaskan snek yang diusahakan.

Jelas Pengasas Trendville Marketing itu, perusahaan rempeyek pelbagai perisa menerusi jenama The Mavlez itu dimulakan selepas dirinya tidak lagi mampu meneruskan perkhidmatan dengan majikan lama disebabkan pergerakannya semakin terbatas kesan masalah kesihatan terbabit.

"Selama empat tahun sejak 2014 saya berdepan masalah saraf yang pernah menjadikan saya lumpuh dari leher hingga ke kaki menyebabkan saya kerap mengambil cuti sakit.

"Pada 2018, saya diberikan kad OKU dan saya faham apabila majikan juga menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan saya sebelum saya memutuskan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual rempeyek.

"Tahun lalu, saya mendapat tahu adanya program pembangunan perniagaan untuk PKS yang disediakan KPDNHEP dan saya terus kemukakan permohonan bagi mendapatkan sokongan untuk kembangkan perniagaan ini," katanya.

Menurut Irwan Fairuzi, hasil bantuan dan sokongan KPDNHEP terutama menerusi Program Citarasa Malaysia (PCM), perniagaan rempeyeknya ditambah baik ke tahap yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

Selain melalui proses penjenamaan semula dengan cap dagangan The Mavlez juga didaftarkan dibawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), pembungkusan produknya turut diubah menjadi lebih menarik menerusi pelantikan konsultan khusus untuk tujuan itu.

Malah kata Irwan, produknya turut mendapat tempat untuk dipasarkan di kira-kira 30 Kedai Mesra sekitar Lembah Klang sebagai tambahan kepada beberapa kedai makan serta pemasaran melalui ejen.

"Kadangkala rasa malu pula melihat rekaan pembungkusan saya sebelum ini jika dibandingkan dengan sekarang. KPDNHEP memang bantu lengkapkan segala maklumat yang sepatutnya ada pada label The Mavlez seperti bahan, nutrisi dan sebagainya.

"Sebenarnya KPDNHEP ingin menempatkan The Mavlez di lebih banyak cawangan Kedai Mesra Petronas, tetapi pihak saya sendiri agak terbatas untuk tingkatkan pengeluaran.

"Apa lagi dengan pelbagai sokongan lain seperti pemasaran di platform e-dagang, jualan memang semakin baik dan The Mavlez sedang mencari jalan untuk tingkatkan kapasiti pengeluaran supaya dapat memanfaatkan sokongan yang disalurkan ini," katanya.

Dalam pada itu, Irwan berkata, susulan mengambil keputusan untuk turut membuka pasar mini halal di Kajang, Selangor, serentak mengusahakan rempeyek terbabit dua tahun lalu, beliau juga mengambil peluang membantu memasarkan produk PKS lain di kedainya.

"Realitinya, produk PKS yang saya kenali selepas menyertai program dibawah KPDNHEP amat berkualiti dan saya tidak risau untuk meyakinkan pelanggan di kedai mengenai kualitinya.

"Walaupun nampak seperti saya bantu mereka, sebenarnya semua PKS ini juga banyak bantu saya dari segi perkongsian maklumat dan pengalaman mereka dalam perniagaan, selain sokongan KPNHEP itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 12:38 PM