MDEC membantu organisasi menyelesaikan 75 pernyataan masalah.
MDEC membantu organisasi menyelesaikan 75 pernyataan masalah.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkenalkan MDEC Innovation Exchange (MIX), program yang dibangunkan untuk mempercepatkan pendigitalan ekonomi negara.

  MIX adalah sebahagian daripada usaha inovasi korporat MDEC untuk memperkasakan syarikat korporat dengan transformasi digital yang ditambah nilai melalui inovasi tempatan, menyatukan syarikat korporat yang mantap dengan pemain teknologi tempatan bertaraf dunia.

   Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, pandemik ini menyebabkan penekanan kepentingan pendigitalan dan dengan pantas mengalih paradigma pendigitalan dan perkhidmatan ekonomi.

  "Ia kini bukan lagi pilihan sebaliknya satu keperluan. Seiring dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan bersesuaian dengan agenda Malaysia 5.0, MIX akan menawarkan begitu banyak manfaat kepada syarikat tempatan untuk beralih ke arah digital.

  "Ia akan meningkatkan daya saing mereka dan seterusnya memajukan negara dengan menyediakan pelbagai peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan," katanya dalam kenyataan.

   MIX bertindak sebagai perkaitan yang penting antara syarikat korporat dengan syarikat pemula dan scale-up tempatan yang berkaliber tinggi, membolehkan kesemua organisasi terbabit menyedari nilai aset mereka, memahami punca kesukaran serta mengatur dan menggunakan teknologi digital dan data.

  Melalui kesemua program dan inisiatif inovasi korporat MDEC, agensi itu sudah membentuk 85 pembabitan dengan 85 rakan korporat dalam tujuh sektor ekonomi iaitu telekomunikasi; perkilangan dan kejuruteraan; pengangkutan; kewangan; perkhidmatan; hartanah dan pertanian serta barangan pengguna cepat laris (FMCG) untuk membantu mereka memulakan perjalanan transformasi digital masing-masing.

Setakat ini, MDEC membantu organisasi menyelesaikan 75 pernyataan masalah selain menyediakan hampir 1,300 peluang kepada syarikat teknologi berkaitan, menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) serta memeterai 13 perjanjian perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 7:10 AM