Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. - FOTO BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. - FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata Malaysia terus muncul sebagai destinasi pelaburan pilihan terutamanya bagi pelaburan dalam pusat data.

Beliau berkata semakin ramai yang berminat dengan keupayaan Malaysia dari segi pengehosan pusat data, justeru, kerajaan komited untuk membangunkan struktur tadbir urus, polisi awam dan kerangka kawal selia.

"Kami bersedia untuk mengadakan libat urus dengan perniagaan dan organisasi untuk mempunyai ekosistem yang kukuh dan bersedia pada masa depan, memandangkan Malaysia akan mempengerusikan Asean pada 2025.

"Pada peringkat ini, negara berlainan di Asean mempunyai persediaan berlainan apabila menyentuh mengenai kerangka kawal selia terutamanya dari segi perlindungan data.

"Sehubungan itu, kami bukan sahaja akan mengusahakan perjanjian kerangka ekonomi, malah, bekerjasama dengan rakan sejawat untuk mempercepat pembangunan kerangka kawal selia di Asean bagi memastikan bahawa 660 juta orang lebih bersedia untuk memanfaatkan dan menyertai ekonomi digital," katanya pada Sidang Kemuncak Pemimpin Transformasi Digital CxO: Transformasi Digital Pintar Dalam Era 5G di sini hari ini.

Dalam konteks Malaysia, Fahmi berkata antara aspek yang memerlukan perhatian adalah meyakinkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah perniagaan mengenai peluang bagaimana teknologi termasuk 5G bukan sahaja boleh membantu mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan dan produktiviti, tetapi membawa anjakan dan perubahan kepada organisasi untuk bersedia dengan teknologi masa depan.

"Sehubungan itu, saya menggalakkan anda (pemimpin pada sidang kemuncak ini) supaya memulakan lebih banyak perbincangan dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk melihat apakah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan untuk mempermudah dan mempercepat pelaburan anda termasuk membawa bakat dari luar negara," kata Fahmi.

Beliau berkata ini adalah komitmen yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berharap untuk mengubah pandangan dunia terhadap Malaysia.

Menurut Fahmi langkah ini juga adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030, dengan satu daripada tonggak utama untuk memacu pertumbuhan ekonomi pada dekad akan datang, adalah ekonomi digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata MDEC akan meneroka pelbagai aspek dalam bidang dan penerimagunaan teknologi, bukan sahaja 5G, malah antaranya, gabungan blockchain (blok rantai) dan kecerdasan buatan.

Beliau berkata MDEC sedang giat mengukuhkan ekosistem teknologi, menawarkan sokongan dan sumber penting untuk memupuk inovasi, merangsang pertumbuhan dan memacu transformasi digital.

"Dengan memupuk persekitaran kolaboratif yang dinamik, MDEC komited untuk mendorong Malaysia menuju masa depan yang bercirikan kemajuan termaju dan pembangunan digital mampan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 7:05 PM