PEMANGKU Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Rosman Mohamed. FOTO Bernama
PEMANGKU Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Rosman Mohamed. FOTO Bernama
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


BANK Rakyat akan mengembangkan segmen Pajak Gadai-i Ar-Rahnunya dengan menyasarkan sejuta pelanggan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 449,000 pelanggan yang sebahagian besarnya terdiri daripada wanita.

Katanya, sebagai pemain utama, Bank Rakyat menguasai 60 peratus pasaran dalam segmen Ar-Rahnu.

“Ar-Rahnu produk yang memang dipromosikan Bank Rakyat, lebih-lebih lagi ia boleh menjamin kestabilan serta memberi peluang kepada usahawan yang memerlukan modal perniagaan.

“Selaras dengan Dasar Keusahawanan Negara, kami yakin segmen Ar-Rahnu ini antara cara untuk membantu usahawan yang sukar mendapatkan modal perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman pemenang Kempen Emas 2 Kilo dan pelancaran Kempen Gempak Bonanza 2020 di sini, semalam.

Kempen Emas 2 Kilo yang dijalankan pada 27 Jun sehingga 27 Oktober 2019 adalah berkonsepkan Pajak dan Menang yang menawarkan 26 hadiah dengan nilai keseluruhan berjumlah hampir RM400,000 atau dua kilogram (kg) emas bersempena 26 tahun Ar-Rahnu Bank Rakyat diperkenalkan.

Sejak penganjuran kali pertama menerusi Kempen Emas 1 Kilo yang berlangsung dari 1 Ogos 2017 sehingga 31 Julai 2018, Bank Rakyat menyerahkan hadiah berjumlah hampir RM1 juta kepada pemenang.

Sementara itu, Bank Rakyat turut melancarkan kempen Gempak Bonanza 2020 yang akan berlangsung pada 16 Disember 2019 sehingga 16 Mac 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:58 AM