FAIZAL berucap pada Bursa-HLIB Stratum Focus Series VII, semalam.
FAIZAL berucap pada Bursa-HLIB Stratum Focus Series VII, semalam.
Suffian A Bakar

Kuala Lumpur: Sebanyak 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pembuatan di seluruh negara dikenal pasti di bawah program Penilaian Kesediaan Industry4WRD (Industry4WRD) bagi membantu kelancaran mereka beralih kepada teknologi Industri 4.0 mulai tahun depan.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar dan Pelaburan dan Fasiliti, Perdagangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Faizal Mohd Yusof berkata, 500 PKS itu adalah kumpulan pertama program peralihan itu sebelum ia dibuka kepada sektor lain.

“Usaha itu selari pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2019 baru-baru ini yang memperuntukkan sebahagian daripada RM210 juta untuk program penilaian kesediaan itu bagi tempoh 2019 hingga 2021,” katanya pada Bursa-HLIB Stratum Focus Series VII di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Komersial Bursa Malaysia, Selvarany Rasiah; Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Investment Bank Bhd, Lee Jim Leng; dan Naib Presiden Eksekutif PEMANDU Associates Sdn Bhd, Yong Yoon Kit.

Sementara itu, Yong berkata, inisiatif itu menunjukkan kerajaan mengiktiraf akan pentingnya menyegerakan teknologi Industri 4.0 selain kesannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Bagaimanapun, katanya bagi merealisasikan kejayaan teknologi Industri 4.0 syarikat perlu memahami kesesuaian sesuatu teknologi itu kepada keperluan syarikat dan perlu komited untuk berubah, selain kesediaan untuk melabur.

“Komitmen harus datang daripada pihak pengurusan hinggalah kepada pekerja bawahan dan proses pengurusannya adalah penting,” katanya.

Bursa-HLIB Stratum Focus Series VII mengumpulkan pakar industri dan peserta pasaran kewangan untuk duduk berbincang berhubung tinjauan dan peluang daripada Industri 4.0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 10:56 AM