ZAKARIA Ahmad Zabidi
ZAKARIA Ahmad Zabidi
BERNAMA

Kuala Lumpur: PLUS Expressways Bhd membelanjakan RM1 bilion pada 2016 untuk menyelenggara 5,000 kilometer lebuh raya di negara ini yang sebahagian daripada komitmennya untuk memastikan keselamatan pengguna.

Ia tanggungjawab yang besar apabila mengambil kira syarikat konsesi lebuh raya terbesar di negara ini turut menyelenggara kawasan di sepanjang lebuh raya meliputi 7,000 cerun dan benteng, 500 jambatan serta dua terowong.

Dalam mengutamakan keselamatan jalan raya untuk pengguna, Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Zakaria Ahmad Zabidi berkata, sepanjang tahun lalu, syarikat itu menjalankan lebih 10,000 pemeriksaan dan pemantauan aset di semua lebuh rayanya.

“Kira-kira 1,000 anggota terbabit dalam tugas besar bagi menyelenggara lebuh raya sepanjang 5,000 kilometer yang bersamaan dengan jarak antara Kuala Lumpur dan Beijing. Petugas terdiri daripada jurutera dan eksekutif teknikal yang menjalankan pengurusan penyelenggaraan termasuk peralatan mekanikal dan elektrik di sepanjang lebuh raya serta pencahayaan jalan,” katanya dalam temu bual.

Beliau berkata, lebuh raya PLUS yang beroperasi lebih 30 tahun yang dianggap sebagai aset matang memerlukan pelaksanaan banyak inisiatif penyelenggaraan bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.

“Kami juga melabur sejumlah besar wang untuk memelihara turapan permukaan jalan yang menjadi aset utama kami,” katanya.

Selain kereta penumpang dan kenderaan ringan, kenderaan berat saja menyumbang kira-kira 25 peratus daripada jumlah lalu lintas dan adalah penyumbang utama kepada kemerosotan muka jalan.

Jumlah pelaburan dan bajet diperuntukkan khusus untuk memelihara aset jalan raya akibat lori lebih muatan yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Bagi mengekalkan lebuh raya, beliau berkata, PLUS mengamalkan strategi penyelenggaraan tiga cabang yang termasuk penyelenggaraan rutin, rawatan dan pencegahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 9:11 AM