ADELE (kiri) bersama Eddie. FOTO Toyota Gazoo Racing
ADELE (kiri) bersama Eddie. FOTO Toyota Gazoo Racing
Syazwan Msar


Sepang: Bapa borek anak rintik.

Perumpamaan itu sesuai digambarkan kepada peserta Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR), Eddie Lew apabila dicabar anak perempuannya, Adele Lew bagi kategori Rookie dan Super Sporting di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Kali pertama gandingan bapa dan anak berentap dalam perlumbaan sama, sudah tentu saingan itu mencuri tumpuan terutama Eddie yang terkenal sebagai pelumba berpengalaman sekali gus turut mempengaruhi persembahan anak perempuannya.

Pada perlumbaan terbabit, Eddie berjaya menggungguli kategori berkenaan apabila dinobatkan sebagai juara dengan catatan masa 29 minit 14.180 saat.

Namun, kecemerlangannya itu tidak mampu diikuti Adele apabila dia yang ketika perlumbaan menduduki tangga keempat terbabit kemalangan pada pusingan terakhir sekali gus gagal menamatkan saingan itu.

Pada perlumbaan itu, tempat kedua dimenangi Mitchell Cheah mewakili Prima Pearl TD Racing Team dengan catatan masa 29 minit 19.760 saat dengan diikuti pelumba Telegamas Toyota Freddie Eng, 29 minit 21.208 saat.

Eddie yang mewakili Laser Motor Racing berkata, dia berharap Adele dapat mengikuti jejak langkahnya menjadi pelumba kereta berpengalaman pada masa akan datang.

"Sebenarnya bukan mudah untuk bersaing dalam satu litar bersama anak kerana kita sentiasa mahu melihat situasi dan keadaan dia sama ada berjaya tamat perlumbaan atau sebaliknya.

"Walaupun dia gagal menamatkan perlumbaan namun mampu berada di kedudukan keempat sebelum terbabit kemalangan adalah perkara yang membanggakan," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Sementara itu, Adele berkata, dia hanya menjalani latihan menerusi simulator selain melihat ayahnya bersaing dalam perlumbaan sebelum mengambil keputusan menyertai pertandingan terbabit.

"Ini kali pertama menyertai kejohanan kompetitif dan jika diikutkan tiada pengalaman berlumba di litar sebenar terutama bersaing pula dengan pelumba lelaki sekali gus ia pengalaman yang cukup mengujakan," katanya.

Secara teknikalnya, Adele bertanding dalam Kelas Rookie manakala Eddie berada dalam Kelas Super Sporting untuk pemandu elit dan profesional, namun kedua-dua kelas bersaing bersama di trek.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 6:25 PM