ADAM Adli (tengah) berkata LSK peringkat daerah mungkin diperkemaskan lagi termasuk jumlah bilangan sukan. FOTO Bernama
ADAM Adli (tengah) berkata LSK peringkat daerah mungkin diperkemaskan lagi termasuk jumlah bilangan sukan. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penganjuran Liga Sukan Komuniti (LSK) akan ditambah baik pada edisi seterusnya termasuk kemungkinan menambah acara sukan yang dipertandingkan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, penambahbaikan itu akan diteliti dari semasa ke semasa selepas edisi kali ini mempertandingkan empat acara di peringkat kebangsaan iaitu futsal, bola jaring, sepak takraw dan bola keranjang.

"Mesti ada (penambahan acara), kita akan lihat kepada sambutan yang diterima sebab seperti yang saya sebutkan sebelum ini, di peringkat daerah tak semestinya terhad kepada empat jenis sukan yang kita pertandingkan di sini (peringkat kebangsaan).

"Untuk peringkat daerah banyak lagi jenis sukan yang mungkin kadang-kadang spesifik dan menjadi keistimewaan di kawasan masing-masing. Jadi mungkin kita boleh serapkan sukan-sukan seperti itu.

"Contohnya bola sepak pantai mungkin ia sangat popular di komuniti yang tinggal di tepi pantai. Jadi kita boleh serapkan kategori sukan itu di peringkat daerah," katanya selepas merasmikan kejohanan LSK Peringkat Kebangsaan 2023, hari ini.

LSK adalah program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan di seluruh negara.

Ia bermula sejak Julai lalu dan kemuncaknya peringkat kebangsaan yang berlangsung ketika ini.

Antara objektif utamanya adalah bagi memperkasa potensi bakat sukan terutamanya di peringkat akar umbi serta menyemai pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat.

Lebih 60,000 penyertaan disasarkan pada tahun ini merangkumi semua peringkat penganjuran iaitu di daerah, negeri dan kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 1:48 PM